fbpx
KEBIASAANNYA, memancing ikan sembilang menggunakan umpan isi kerang atau siput beliung tetapi untuk trip ini kami menggunakan umpan udang hidup.

Pancing sembilang di dua lubuk berbeza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CIRI-CIRI utama ikan sembilang adalah empat pasang misai di sekitar mulutnya. Tubuhnya berbentuk silinder, memanjang tirus hingga ke hujung ekor. Warnanya coklat tua kehitaman dan ada tiga duri atau sengat berbisa terletak di kedua-dua insang dan satu di hadapan sirip dorsal. 

Kira-kira 15 tahun dahulu, saya pernah terkena sengatnya dan sampai sekarang parutnya masih berbekas. 

Jadi, jangan sesekali terburu-buru untuk mencabut mata kail pada mulutnya.

Pastikan ketiga-tiga sengat itu dipatahkan terlebih dahulu dengan menggunakan playar. 

Sengat yang dipotong jangan dibuang merata tempat pula.

 Sebaiknya masukkan ke dalam botol berpenutup dan lupuskan di tempat selamat. 

Lubuk pertama ini di Sungai Kampung Madat, Kota Bharu, Kelantan. 

Sungai ini terkenal dengan ikan siakap putih dan merah, bulan, senangin, kuku, kacang, jenahak, gelama dan sembilang. 

Sungai Kampung Madat

Lokasi yang kami pancing ini terdapat struktur seperti sangkar tiram dan jeti bot nelayan. Dasar-

nya berselut bercampur pasir, habitat yang sesuai untuk ikan sembilang.

Malam adalah waktu terbaik bagi kami memancing, dan seperti yang telah dijanjikan kami bertiga sampai di lubuk ini kira-kira pukul 9 malam. 

SUASANA lubuk pertama di Sungai Kampung Madat di siang hari. Selain ikan sembilang, siakap putih dan merah juga menjadi buruan kaki pancing di sini.

Lubuk ini dicerahi oleh lampu jalan yang dipasang oleh penduduk di sini. 

Kebiasaannya, kami meman­cing ikan sembilang menggunakan umpan isi kerang atau siput beliung. Namun, untuk trip ini, kami menggunakan umpan udang hidup.

Masa memancing semakin berlalu, suasana yang bising dengan kenderaan penduduk di sini sudah mula membisu. 

Suasana alam saja yang kedengaran berserta nyamuk menggigit kami. 

Hanya ikan pengacau seperti buntal dan bebaji menjadi tangkapan kami. Sehinggalah pukul 1 pagi, loceng pada joran Hafiz memecah kesunyian. 

Dia cepat-cepat mendapatkannya dan terus melakukan sentapan.

Ikan cuba menyelamatkan diri, namun berjaya ditewaskan. 

Naiknya ikan sembilang itu membuatkan kami lebih bersemangat menanti yang lain pula. 

Beberapa minit kemudian, tiba pula giliran Aliff bergasak bersama sembilang. 

Ikan yang ditewaskan Alif tidaklah besar tetapi sudah boleh dijadikan hidangan keluarga. 

Selepas itu, tiada lagi getuan daripada ikan sembilang. Pada pukul 4 pagi, kami mengambil keputusan menamatkan trip. 

NELAYAN yang membantu melepaskan ikan tersangkut di tengah sungai.

Sungai Pulau Melaka

Malam seterusnya, kami ke lubuk kedua iaitu di Sungai Pulau Melaka. Dasar sungai ini juga berselut dan berpasir, satu tempat yang digemari oleh ikan sembilang.  Di sini, suasananya amat gelap, jadi kami sudah bersedia dengan pelbagai kelengkapan perkhemahan se­perti lampu, kipas, ubat nyamuk, dapur dan sebagainya.

Masa begitu cepat berlalu, namun ikan masih belum mahu menjamah umpan dengan jam di tangan menunjukkan pukul 12 tengah malam. 

Perut mula berkeroncong meminta sesuatu untuk dihadamkan, maka bermulalah aktiviti masak-memasak.  Selepas itu, kami terus menanti umpan diragut ikan. Sehinggalah pukul 3 pagi joran milik Muiz ditarik rakus, tetapi ikan terlekat betul-betul di tengah sungai. Apabila tali dikendurkan terasa ada ikan, bila dikarau, ikan tersangkut di tempat sama.  

Pada mulanya, dia ingin tarik sahaja sampai putus, tetapi setelah disuluh pada permukaan sungai, nampak seperti ikan sedang mengibas di permukaan air seolah-olah ikan pari. Sayang pula hendak diputuskan tali.

Hendak turun ke sungai bahaya, jadi kami terpaksa menunggu jika ada bot-bot nelayan yang lalu untuk meminta tolong. Hari sudah semakin cerah, sebuah bot muncul dan pertolongan diberikan. 

Rupa-rupanya, ikan yang tersangkut itu adalah sembilang bersaiz kasar. Rupanya, benda bergerak-gerak di permukaan air setiap kali tali ditarik itu bukanlah ikan pari, sebaliknya satu bubu naga yang ditinggalkan oleh nelayan tempatan. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN