BATU PAHAT – Seorang pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah menemui ajal apabila motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang melanggar kereta Perodua Axia dalam kemalangan di di Jalan Johor Bahru Melaka, Peserai di sini malam tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 9.30 malam itu, mangsa, Muhammad Akmal Harith Azman, 21, meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, Muhammad Akmal merupakan pelajar jurusan Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan bakal bergraduasi beberapa bulan lagi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, Kejadian dipercayai apbila mangsa dalam perjalanan dari arah Kampung Parit Siba, Bagan menghala ke arah Jalan Simpang Lima untuk ke pusat bandar Batu Pahat.
“Apabila tiba di tempat kejadian iaitu semasa bergerak terus telah berlaku perlanggaran dengan sebuah kereta dari arah yang sama dipercayai telah membuat pusingan U secara mengejut di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Akibat daripada perlanggaran tersebut menyebabkan penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan berumur 21 tahun mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Shahrulanuar lagi, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.
Ujarnya, pemandu kereta iaitu seorang lelaki tempatan berumur 28 tahun mengalami kecederaan di kepala manakala lima penumpang lain yang merupakan ahli keluarganya iaitu isteri, 29, anak perempuan, 5, anak lelaki, 1 tahun, emak mentua, 56, dan adik ipar perempuan, 23, cedera ringan. – KOSMO! ONLINE