PETALING JAYA – Seorang wanita terkejut apabila menemui ‘plaster’ (penampal) luka dalam hidangan nasi lemak yang dibeli di sebuah gerai terkenal dekat ibu kota.
Menerusi perkongsian di Thread, Nurainali_28 berkata, dia menemui ‘plaster’ tersebut yang telah bercampur dengan sambal nasi lemak.
Turut disertakan gambar ‘plaster’ luka itu yang telah berubah warna menjadi merah kerana sudah bercampur dengan sambal berkenaan.
“Malas sebut dekat belah mana, yang pasti benda ini dalam sambal dia. Mungkin bagi tambah sedap kot, itu viral nasi lemak dia,” tulis hantaran itu.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan peniaga makanan tersebut yang tidak menjaga kebersihan makanan yang dijual kepada pelanggan.
“Laporkan dekat Kementerian Kesihatan (KKM), bukan nak jatuhkan perniagaan, itu tanggungjawab,” kata Suzairi.
“Dalam hati cakap besarnya halia dia, sekali zoom loya tekak,” kata Yenniss.
“Sebab tu bila ambil kos penyediaan makanan tak boleh pakai plaster warna kulit. Kena pakai warna biru atau hijau yang tak sama dengan makanan,” kata Zira. – KOSMO! ONLINE














