IPOH – Keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin mahu wakil mereka dimasukkan dalam jawatankuasa bagi menyiasat kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia itu.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mahu peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili keluarga menyertai jawatankuasa itu bagi merungkai punca kematian anak sulungnya yang meninggal dunia ketika menjalani latihan pada 28 Julai lalu.
“Saya mahu peguam (Naran Singh) turut dilantik dalam jawatankuasa ini supaya siasatan dijalankan secara telus bagi membela nasib anak saya dan keluarga kami,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Hari ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas dianggotai tiga agensi iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menyiasat kematian pemuda itu.
Pihak polis semalam mengesahkan tiada kecederaan berunsurkan jenayah dikesan sehingga menyebabkan kematian Syamsul Haris.
Ummu Haiman Bee bagaimanapun berkata, dia tetap mengesyaki terdapat perlakuan jenayah dalam kes kematian anaknya berdasarkan kesan pada jenazah tersebut.
“Saya yakin ada unsur jenayah berdasarkan ciri-ciri kecederaan pada tubuhnya,” katanya.
Sementara itu, Naran Singh ketika dihubungi bersetuju dengan cadangan untuk mewakili keluarga mangsa dalam jawatankuasa siasatan yang diumumkan oleh Menteri Pertahanan.
Katanya, beliau sendiri mempunyai pengalaman dalam bidang perubatan sebelum menjadi pengamal undang-undang dan percaya proses siasatan bagi mencari punca kematian Syamsul Haris masih dilakukan berdasarkan laporan berita mengenai kes ini. – KOSMO! ONLINE