“MINAT terhadap bidang pemasaran dan keusahawanan sebenarnya sudah mula terbit sejak zaman muda lagi.
“Saya membesar dengan persekitaran kerjaya ibu yang terlibat bidang komunikasi dalam industri perhotelan.
“Pendedahan itu sangat memberi kesan, membuatkan saya tertarik dengan dunia komunikasi dan interaksi manusia.”
Itu bait-bait pengenalan Dr. Nur Thara Atikah Zainal, 36, berkenaan penglibatannya sebagai pendidik dalam dunia pemasaran dan keusahawanan yang dipilihnya lebih sedekad lalu.
Melakukan keputusan besar untuk beralih dari aliran sains tulen (ketika Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) ke aliran sastera membawa wanita ini kian jatuh cinta dengan dunia perniagaan.
Kini merupakan pensyarah kanan di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Malaysia Sabah (UMS), wanita yang mesra disapa Dr. Thara ini juga ialah Timbalan Pengarah (Keusahawanan) di Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan Pelajar (CEDeC) UMS.
Lebih membanggakan, baru-baru ini dia telah menerima Anugerah Cemerlang Profesional Dalam Pendidikan (Gemilang Madani 2025) yang memberikan penganugerahan kepada individu-individu berdasarkan sumbangan profesional dalam bidang pendidikan.
Dr. Thara seorang pendidik yang memperjuangkan keusahawanan siswa.
Menyorot latar belakang akademiknya, Dr. Thara memiliki Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dengan Kepujian (Pemasaran) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari UMS.
“Saya menamatkan pengajian pada 2012 bagi ijazah pertama dengan dianugerahkan Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) semasa Majlis Konvokesyen UMS ke-14.
“Pada tahun yang sama, saya menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan graduasi pada tahun 2013.
“Dalam tempoh itu, saya aktif mengusahakan perniagaan kecil-kecilan gubahan hantaran perkahwinan dan perkhidmatan pelanggan, sambil terus mencari ruang untuk menyumbang dalam bidang akademik.
“Selepas tamat MBA, saya diberi peluang berkhidmat sebagai pensyarah sementara kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) di PPIB, UMS selama satu semester sebelum dilantik sebagai Felo Siswazah pada tahun 2014,” katanya.
“Alhamdulillah, pada hujung tahun yang sama, saya menerima tawaran menyambung pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Perniagaan di University of Nottingham, United Kingdom, di bawah tajaan penuh Kementerian Pengajian Tinggi (kini dikenali Kementerian Pendidikan Tinggi) melalui Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB),” ceritanya.
Lantaran kecemerlangannya, pada hujung tahun 2014, Dr. Thara telah ditawarkan menyambung pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Perniagaan di University of Nottingham, United Kingdom, di bawah tajaan penuh Kementerian Pengajian Tinggi melalui Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB).
Sekembalinya ke tanah air pada 2018, anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu ditawarkan jawatan tetap sebagai pensyarah di PPIB UMS dan diberi tanggungjawab sebagai Penyelaras Kursus APK, satu kursus keusahawanan wajib universiti yang merentas semua fakulti dan bidang pengajian.

Bermula Julai 2021, atas dedikasi dalam perkhidmatan, dia dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Keusahawanan) yang pertama di CEDeC UMS.
Kongsinya, dia pernah melakukan pelbagai pekerjaan separuh masa usai tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Antaranya sebagai telemarketer, bekerja dalam industri makanan dan minuman, manakala perkhidmatan fotografi studio serta perhotelan semasa zaman universiti.
Selepas tamat pengajian ijazah sarjana muda, dia membuka perniagaan kecil-kecilan gubahan hantaran perkahwinan, satu langkah yang menjadi titik mula dalam dunia keusahawanannya.
“Saya teruskan perniagaan tersebut semasa menyambung pengajian MBA dan menjadikannya sumber pendapatan utama pada ketika itu,” katanya.
Akui ibu dua cahaya mata ini, keusahawanan hadir secara semula jadi, bukan kerana dia mencari, tetapi kerana perlu ‘survive’ dan menjana pendapatan selepas tamat ijazah pertama.
Dari situ juga, dia percaya bahawa keusahawanan adalah tentang tindakan, bukan teori semata-mata.
Dr. Thara juga pernah menerima Anugerah Khas Menteri Pengajian Tinggi (AKRI) 2022 menerusi inovasi pengajaran bertajuk PEERS: The Digital Siswapreneurship Learning Process.
“Ia memberi makna yang besar kepada saya kerana saya tahu bahawa inovasi pengajaran bukan sesuatu yang mudah diterima ramai. Ia perlukan masa, keberanian untuk mencuba dan keyakinan pada pendekatan yang dibina dan paling penting, bukti keberkesanan terhadap pelajar,” ujarnya.
Dr. Thara percaya bahawa pengajaran hari ini perlu bergerak seiring dengan peredaran zaman dan sebagai pendidik perlu sentiasa memadankan pendekatan agar sesuai dengan keperluan mereka.
Mengenai Anugerah Cemerlang Profesional Dalam Pendidikan sempena Majlis Anugerah Gemilang Madani 2025 yang diterima Mei lalu di Kota Kinabalu, Dr. Thara amat terkejut dan pada masa sama begitu terharu.
“Ia lebih bermakna kerana saya menerimanya bersempena empat tahun saya berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah (Keusahawanan) di CEDeC dan sedekad sebagai pensyarah di UMS,” ujarnya yang memberitahu majlis itu dianjurkan Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah (Presbah).
Dia menerima anugerah itu sebagai satu amanah dan tanggungjawab untuk terus menyumbang sebaik mungkin dalam bidang yang sangat dekat di hati, iaitu pendidikan dan keusahawanan mahasiswa.
Wanita lasak dan pernah mendaki Gunung Kinabalu sebanyak tiga kali ini komited untuk kekal berada di landasan akademik. Hal ini kerana dia percaya di sinilah ruang terbaik untuk menyumbang ilmu, membina generasi muda dan mencetus perubahan sosial.
“Saya ingin terus menjadi sebahagian daripada ekosistem pendidikan tinggi yang progresif, bukan hanya menyampaikan ilmu tetapi juga membentuk karakter, nilai dan jati diri pelajar.
“Pada masa yang sama, saya terbuka untuk meneroka potensi dalam bidang konsultansi, latihan profesional dan pembangunan perniagaan, khususnya yang memberi impak kepada komuniti di Sabah.
“Menerusi kelayakan saya sebagai HRD Corp TTT Certified Trainer dan juga MDEC eUsahawan Certified Trainer, saya yakin saya mampu menyumbang lebih luas, sama ada melalui UMS mahupun melalui kolaborasi dengan agensi dan industri luar,” katanya.
Tambahnya yang juga meminati kraf tangan, antara fokus utamanya adalah memperkasa ekosistem keusahawanan dalam universiti dan di Sabah, terutama dalam membantu anak muda yang sedang berdepan cabaran mendapatkan pekerjaan dan pendapatan setimpal kelayakan.
“Saya percaya keusahawanan dapat menjadi platform yang sesuai, bukan sahaja untuk menjana pendapatan, tetapi juga membina jati diri, keyakinan dan potensi sebenar anak muda.
“Saya juga terbuka untuk memotivasikan golongan muda agar lebih yakin dengan diri sendiri, serta lebih berdaya saing melalui pendekatan kreatif dan inovatif,” katanya.
Ditanya pandangannya mengenai mahasiswa menjadi usahawan sambil belajar, Dr. Thara berpendapat perkara tersebut tidak mendatangkan sebarang masalah, malah amat digalakkan.
Ujarnya, hal ini Ini selari dengan agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyokong budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti.
“Realitinya, dunia luar tidak seindah yang diidamkan. Persaingan sengit, peluang pekerjaan terhad dan di sinilah keusahawanan menjadi satu alternatif yang berdaya tahan.
“Mahasiswa boleh menjadi ‘job creator’ dan bukan hanya pencari kerja,” katanya.
Berkongsi sedikit tip kepada pelajar bagi seimbangkan pengajian dan perniagaan, Dr. Thara menyarankan untuk pelajar itu memilih bisnes yang bijak dan sesuai.
Pertamanya, pilih perniagaan yang bersifat ‘problem-solving’, sama ada produk atau perkhidmatan yang memang ada permintaan. Hal ini bagi memudahkan mereka mendapat pelanggan dan menjana pendapatan secara konsisten.
“Keduanya, bahagikan masa dengan bijak dan pastikan kuliah perlu jadi keutamaan. Tetapkan jadual yang jelas agar urusan pengajian dan perniagaan tidak bercampur hingga mengganggu prestasi akademik.
“Terakhir bekerja dan berniagalah dengan cara yang efisien. Gunakan platform digital untuk automasi, pemasaran dan komunikasi,” katanya.
Dr. Thara juga berpendapat, tiada masalah jika pelajar mengambil jurusan lain, tetapi akhirnya memilih menjadi usahawan selepas tamat pengajian.
“Saya tidak bersetuju jika ada yang melabel pelajar begini sebagai gagal.
“Sebenarnya, ini bukan satu kegagalan, malah ia satu bentuk adaptasi bijak terhadap realiti pasaran kerja. Saya cuba latih anak-anak muda bahawa mereka masih boleh bekerja sendiri sebagai usahawan dalam jurusan masing-masing,” katanya.
Cumanya kata Dr. Thara, mereka perlu lebih kreatif dan berfikir luar daripada kerangka tradisional bahawa jurusan mereka bukan hanya memberi peluang bekerja dengan majikan.
“Contohnya, jika pelajar belajar jurusan pemasaran, mereka boleh jadi usahawan digital, buka agensi pemasaran, freelancer atau buka akademi latihan sendiri,” katanya.
















