KUALA SELANGOR – Perbuatan jahat seorang tukang urut memperkosa anak perempuannya terbongkar selepas mangsa mendapatkan rawatan gastrik di Hospital Tanjong Karang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak hospital melibatkan mangsa berusia 17 tahun pada pukul 5.07 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa hadir ke hospital itu selepas mengadu sakit gastrik pada pukul 6 petang, kelmarin.
“Hasil temu bual awal, doktor mendapati remaja perempuan itu dirogol bapa kandungnya yang berusia 51 tahun.
“Polis berjaya memberkas suspek di kawasan Bestari Jaya pada pukul 11.15 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, siasatan masih dijalankan sejak bila suspek melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE