JOHOR BAHRU – Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) akan bekerjasama dengan Bank Rakyat untuk menganjurkan Bank Rakyat Johor International Marathon 2025 pada 8 dan 9 November depan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, program tersebut dijangka akan disertai seramai lebih 8,000 peserta tempatan dan antarabangsa.
Katanya, acara sukan itu juga selari dengan hasrat Johor menjadi sebuah negeri sukan atau ‘sports nation’ menjelang tahun 2030.
“Penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa ini bukan sahaja bakal memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Johor, tetapi juga merancakkan lagi sektor ekonomi negeri.
“Acara marathon mampu menyatukan bukan sahaja masyarakat pelbagai latar belakang, tetapi juga warganegara jiran yang turut meminati acara sukan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Bank Rakyat Johor International Marathon 2025 di Ibu Pejabat Bank Rakyat Johor, Coronation Square, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah MSNJ, Mohd. Ekmaluddin Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd. Syariff.
Tambah Mohd. Hairi, penganjuran acara marathon melibatkan beberapa kategori termasuk jarak larian sejauh 42 kilometer itu bakal meletakkan Johor dalam peta sukan antarabangsa.
Sementara itu, Ahmad Shahril pula memberitahu, program tersebut merupakan langkah pertama pihaknya menceburkan diri dalam program sukan bertaraf antarabangsa.
“Kita memilih bekerjasama dengan Johor kerana negeri ini mempunyai visi menjadi sebuah negeri sukan, dan visi itu selaras dengan kepentingan Bank Rakyat untuk pembangunan komuniti serta penjenamaan antarabangsa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE