fbpx
Sebahagian jemaah umrah yang terkandas di Jeddah selepas didakwa tiada tiket pulang ke Malaysia.

43 jemaah umrah terkandas, ini penjelasan agensi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Syarikat agensi pelancongan, Persada Global Holidays Sdn Bhd mengesahkan berlaku kelewatan penerbangan pulang membabitkan sebahagian jemaah umrah mereka dari Jeddah ke Kuala Lumpur.

Pengarah urusannya, Shahir Ibrahim berkata, insiden itu berlaku berikutan beberapa isu logistik dan teknikal yang tidak dijangka, termasuk kekangan dana operasi serta cabaran dalam mengesahkan tiket penerbangan pulang dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau turut menegaskan pihak syarikat tidak melarikan diri atau mengabaikan tanggungjawab ke atas jemaah umrah yang terbabit dan akan mengambil tindakan secara menyeluruh.

“Semua jemaah yang terkandas berada dalam keadaan selamat dan dijaga oleh petugas kami di Jeddah dengan keperluan asas dan penginapan yang diuruskan.

“Pihak syarikat sedang mengatur pembelian tiket pulang secara berperingkat untuk memastikan semua jemaah kembali ke tanah air secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Shahir berkata, pihaknya juga telah menghubungi para jemaah dan waris secara langsung untuk memberi penjelasan dan memaklumkan status semasa.

Jelasnya, syarikat turut mengusahakan penyelesaian segera termasuk memohon kerjasama daripada jemaah yang berkemampuan untuk memberikan pinjaman sementara bagi pembelian tiket dengan komitmen bayaran balik dalam tempoh 90 hari.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan tekanan emosi yang telah ditanggung oleh jemaah dan keluarga. Kami mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku dan berjanji untuk menyelesaikan isu ini secara telus, adil dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Selain itu, katanya, syarikat sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan laporan penuh akan diserahkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Terdahulu, media melaporkan seramai 43 jemaah umrah, termasuk seorang mutawif terkandas di Jeddah, Arab Saudi selepas syarikat agensi pelancongan yang menguruskan mereka dipercayai gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia kepada semua jemaah terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI