MUAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh memandang ringan isu hutang negara kerana ia melibatkan masa depan generasi akan datang.
Anwar menegaskan, walaupun ada pihak mempersoalkan kenyataannya yang sering menyentuh isu hutang, namun ia adalah hakikat yang perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab.
“Memang betul, hutang negara masih banyak. Kalau tak bayar, siapa nak datang melabur? Negara yang enggan bayar hutang tidak akan menarik pelabur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dasar kewangan kerajaan kini lebih berhemah apabila pinjaman baharu berkurangan secara berperingkat.
“Tahun 2022, kita pinjam RM100 bilion. Tahun berikutnya, turun kepada RM90 bilion. Tahun ini pula RM80 bilion. Kita kawal supaya tiada tambahan hutang besar,” ujarnya.
Menurutnya, pendekatan ini penting supaya beban hutang tidak ditanggung oleh anak cucu kelak.
“Kalau saya belanja besar sekarang, semua suka. Tapi siapa nak bayar nanti? Anak-anak kita. Itu bukan cara urus ekonomi dengan bertanggungjawab,” katanya.
Anwar turut menempelak amalan pentadbiran terdahulu yang menurutnya menggunakan hutang untuk kepentingan peribadi dan bukan pembangunan rakyat.
“Kalau hutang untuk projek luar bandar, kita boleh terima. Tapi kalau hutang untuk sakau, itu yang kita lawan,” katanya.
Beliau turut mendakwa terdapat pemimpin terdahulu yang mengumpulkan kekayaan luar biasa termasuk ahli keluarga yang didakwa memiliki kekayaan mencecah berbilion ringgit.
“Seorang anak pemimpin ada RM1.2 bilion, seorang lagi keluarganya RM4 bilion. Bila kita ambil tindakan, dituduh dendam. Saya tak peduli orang, saya nak ambil balik duit rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, perjuangan beliau bukan bersifat peribadi tetapi demi memastikan kekayaan negara dikembalikan kepada rakyat.-KOSMO! ONLINE