PETALING JAYA – Skuad terjun negara menamatkan saingan di kedudukan ke-16 dalam acara 3 meter (m) & 10m berpasukan campuran pada Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di WCH Arena, Singapura, sebentar tadi.
Malaysia dibarisi Enrique Harold, Elvis Priestly Anak Clement, Pandelela Rinong dan Lee Yiat Qing mengumpul 322.55 mata keseluruhan, ketinggalan jauh di belakang China yang muncul juara dengan markah mencatat 466.25 mata.
Pingat perak menjadi milik Mexico dengan 426.30 mata, manakala Jepun meraih gangsa selepas mengutip 409.65 mata.
Skuad negara yang menggabungkan penerjun berpengalaman seperti Pandelela dan Enrique dengan muka baharu jelas berdepan cabaran besar untuk menyerlah dalam format berpasukan yang menuntut keseragaman, teknik kemas dan darjah kesukaran tinggi.
Beberapa terjunan menyaksikan penilaian markah yang rendah, termasuk catatan 4.0 hingga 4.5 sekali gus memberi kesan ketara kepada jumlah keseluruhan.
Malaysia turut mencatat perbezaan mata sebanyak 143.70 berbanding pendahulu, sekali gus menggambarkan jurang prestasi yang masih perlu diperbaiki menjelang aksi seterusnya.
Tumpuan skuad negara selepas ini akan beralih kepada acara individu dan seirama yang bakal berlangsung dalam beberapa hari akan datang.
Antara menjadi perhatian termasuk Pandelela Rinong yang akan bergandingan dengan atlet muda, Yiat Qing dalam acara 10m platform seirama wanita pada Isnin ini.
Ia adalah peluang terbaik untuk menamatkan kemarau pingat yang membelenggu kem terjun negara. – KOSMO! ONLINE