JAKARTA – Seorang datuk berusia 61 tahun di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan menangis seperti kerasukan di balai polis selepas anak teman wanitanya tidak merestui hubungan mereka, lapor portal berita Detik semalam.
Ketua Polis Makassar, Muhammad Tamrin berkata, lelaki bernama Dg Ngawing itu berkata, dia diancam dengan parang oleh anak kekasihnya.
“Dia sedang bercinta dengan seorang wanita tetapi hubungan mereka tidak direstui oleh anak wanita tersebut,” kata Muhammad Tamrin.
Pengadu tiba di balai polis sekitar pukul 7.30 malam (waktu tempatan) selepas minum di rumah kekasihnya.
“Dia berkemungkinan diugut oleh anak wanita terbabit, menyebabkan dia nekad melaporkan kepada polis.
“Sebelum pulang, Dg memberitahu kami bahawa dia tidak akan kembali bersama dengan kekasihnya,” tambah Muhammad Tamrin. – AGENSI