KUALA NERUS – Kedaifan sebuah keluarga yang terpaksa menumpang teduh di bangunan usang yang pernah dijadikan rumah sarang burung walet di Kampung Batin, di sini sejak lebih setahun lalu mendapat perhatian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Pengarah KKDW Terengganu, Md. Razi Md. Lazim mengakui terkejut dan bersimpati dengan nasib yang menimpa Mohd. Nazarudin Muhamat, 50, isterinya, Nur Nadiatul Asyikin Muhammad Nasir, 36, serta enam anak mereka berusia tiga dan 12 tahun.
“Saya segera turun padang selepas dimaklumkan perkara ini oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman. Tapak rumah sarang burung walet ini amat daif dan tidak sesuai untuk didiami,” katanya selepas menyantuni keluarga itu semalam.
Md. Razi berkata, KKDW difahamkan premis itu dimiliki ibu Nur Nadiatul Asyikin dan dijadikan tempat tinggal selepas keluarga tersebut gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah.
Beliau berkata, buat sementara waktu, ‘kediaman’ tersebut akan dibaik pulih dengan membina ruang tamu, dapur dan tandas demi keselesaan keluarga Mohd. Nazarudin.
Sementara itu, Nur Nadiatul Asyikin memberitahu, sebelum ini mereka menetap di Kuala Lumpur dan memutuskan untuk pulang ke kampung halamannya sewaktu pandemik Covid-19 kira-kira lima tahun lalu akibat desakan hidup.
Katanya, pada mulanya, mereka menyewa sebuah rumah, namun terpaksa keluar lebih setahun lalu kerana gagal membayar sewa bulanan sebanyak RM550.
“Ibu saya memberi keizinan untuk kami tinggal sementara di bangunan ini. Setakat ini kami cuma mampu ubah suai sedikit tanpa tandas. Kalau mahu buang air kecil dan besar, kami akan pergi ke stesen minyak berhampiran,” katanya.
Md. Razi bekerja sebagai mekanik, manakala isterinya menjual aiskrim dengan purata pendapatan RM1,000 sebulan. Anak sulung mereka yang berusia 12 tahun disahkan orang kurang upaya kategori gangguan kecelaruan tumpuan dan kelasakan (ADHD).
Difahamkan, pasangan tersebut baru memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu. -KOSMO! ONLINE