KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima sebanyak 1,009 aduan awam berkaitan kenderaan buruk atau terbiar di kawasan Parlimen ibu negara setakat Januari hingga Mei lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Mustafa berkata daripada jumlah itu, 992 aduan berjaya diselesaikan manakala bakinya masih dalam siasatan dan proses tindakan lanjut.
“Aduan berkenaan datang dari semua 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur, dengan jumlah tertinggi direkodkan di Segambut sebanyak 163, diikuti Seputeh (143) dan Setiawangsa (113).
“Bagi kawasan Bukit Bintang, sebanyak 81 aduan diterima dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Jabatan Penguatkuasaan DBKL mempunyai tiga depoh khas dengan kapasiti keseluruhan 3,100 kenderaan. Setakat ini, ia menempatkan 1,945 kenderaan.
“Daripada jumlah itu 1,504 kenderaan ditempatkan di Depoh Taman Connaught yang berkapasiti 1,600 kenderaan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Zaliha berkata antara langkah penambahbaikan sistematik yang sedang diambil oleh DBKL adalah mempercepatkan proses pelupusan untuk kenderaan tidak dituntut melalui pewartaan.
Namun, katanya, proses pewartaan ini memerlukan masa kerana DBKL perlu memastikan pemilik atau waris benar-benar tidak akan menuntut kembali kenderaan sebelum dilupuskan atas dasar menjaga kepentingan hak milik.
“Sehubungan itu, penyelesaian sebenar adalah apabila semua pemilik kenderaan buruk atau terbiar memainkan peranan masing-masing dalam melupuskan kenderaan mereka sendiri,” katanya.
Tambahnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini memperkenalkan satu kemudahan baharu dikenali sebagai sistem eDereg. – KOSMO! ONLINE.