PENSTRUKTURAN semula tarif elektrik yang diumumkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) baru-baru ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia. Ada yang menyambut baik atas dasar keadilan, namun tidak kurang juga yang bimbang akan peningkatan kos sara hidup.
Bermula tarikh keramat 1 Julai 2025, pelaksanaan tarif baharu ini bukan sekadar langkah ekonomi biasa, tetapi mencerminkan pendekatan sistematik dalam mengurus sumber tenaga negara.
Ia hadir dalam bingkai dasar yang mengangkat tiga prinsip utama yang sangat dititikberatkan dalam Islam iaitu keadilan, ketelusan dan kecekapan.
Ironinya, Islam telah menetapkan bahawa keadilan (al-‘adl) adalah sendi utama dalam segala urusan pentadbiran termasuk pengurusan ekonomi dan kebajikan rakyat. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 90:
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan…”

Dalam konteks tarif elektrik, pengenaan kadar lebih rendah kepada pengguna berpendapatan rendah atau dengan penggunaan kecil mencerminkan pelaksanaan prinsip ini.
Ia selaras dengan maqasid syariah dalam memelihara harta (hifz al-mal) dan meminimumkan beban sara hidup khususnya bagi golongan B40 dan M40 yang semakin terhimpit dengan inflasi pasca pandemik dan krisis global.
Tanggungjawab pemimpin dan institusi dalam Islam bukan semata-mata kontrak sosial, tetapi suatu amanah spiritual yang bersumberkan wahyu. Sabda Rasulullah SAW:
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap kepimpinannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Langkah ST yang memperincikan komponen bil elektrik termasuk caj penjanaan, kapasiti, rangkaian dan caj runcit merupakan satu manifestasi ketelusan (al-mas’uliyyah) dan semangat hisbah iaitu sistem semakan dalam Islam yang memastikan tiada penindasan dan salah guna kuasa berlaku.
Tuntasnya, rakyat kini mesti menjadi pengguna bijak yang bukan sekadar membayar, tetapi berhak mengetahui ke mana wang mereka disalurkan.
Tambahan pula, pendekatan ini juga mendidik masyarakat terhadap kecekapan dalam penggunaan tenaga, sejajar dengan larangan pembaziran dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.” (Surah al-Isra’, ayat 27)
Insentif kecekapan tenaga yang diperkenalkan bukan sahaja berfungsi sebagai mekanisme penjimatan, tetapi turut mendidik nilai fiqh al-mawarid iaitu kefaqihan dalam penggunaan sumber agar setiap kilowatt-hour digunakan dengan pertimbangan manfaat dan maslahat.
Tokoh fiqh kontemporari, Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Zakah menjelaskan harta dan sumber adalah amanah yang wajib dimanfaatkan secara optimum untuk maslahat umum.
Maka, tarif baharu ini sekiranya diurus dengan betul menatijahkan bukanlah instrumen keuntungan semata, tetapi wajar difahami sebagai alat sokongan sosial dalam sektor tenaga.
Pandangan ini turut didukung oleh Prof. Dr. M. Umer Chapra, tokoh ekonomi Islam yang menegaskan bahawa sistem ekonomi Islam berpaksikan kepada dua prinsip: keadilan sosial (social justice) dan kecekapan ekonomi (economic efficiency).
Hakikatnya, pelaksanaan tarif yang menurunkan kadar asas, memperkenalkan kategori khas, serta memberi insentif adalah selari dengan prinsip Islam seimbang yang tidak memberatkan rakyat, namun tidak melumpuhkan sektor tenaga.
Dalam kerangka Incentive-Based Regulation (IBR) yang digunakan oleh Suruhanjaya Tenaga, penyusunan semula komponen bahan api dengan lebih telus dan dinamik juga boleh dikaitkan dengan prinsip transparensi harga dalam akad jual beli seperti bay’ al-murabahah yang dibahaskan secara meluas oleh ulama fiqh muamalat moden seperti Sheikh Dr. Wahbah al-Zuhayli dan Prof. Dr. Monzer Kahf.
Justeru, penstrukturan semula tarif elektrik harus dilihat sebagai ijtihad ekonomi moden yang bersifat dinamik dan responsif terhadap cabaran semasa. Islam memberi ruang kepada pemerintah (wali al-amr) untuk menetapkan dasar awam (maslahah ammah) selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip syariah.
Dalam suasana dunia yang berdepan krisis iklim, krisis tenaga dan tekanan kos hidup global, usaha membentuk dasar tarif yang telus, adil dan lestari bukan lagi pilihan, tetapi keperluan syarie dan kemanusiaan.
Akhirnya, rakyat juga tidak harus sekadar menjadi pengguna pasif. Sebaliknya, kita diseru menjadi pengguna yang beretika dan bertaqwa, mengelakkan israf, memaksimumkan manfaat setiap sumber dan menyokong dasar yang berpaksikan kebaikan bersama. Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi selepas Allah memperbaikinya.”
(Surah al-A’raf, ayat 56)
Sesungguhnya, setiap ringgit yang dibayar, setiap tenaga yang digunakan dan setiap pilihan yang dibuat dalam urusan seharian lebih-lebih lagi kadar tarif yang lebih murah di waktu bukan puncak mendidik agar rakyat lebih menghargai masa dan berjimat-cermat.
Begitu jua dengan kaedah cara penggunaan elektrik ini secara berhemah merupakan sebahagian daripada amanah besar yang bakal ditanya di hadapan Allah kelak bukan hanya kepada pihak pemerintah, malah kepada rakyat keseluruhannya.
Maka, jadikanlah setiap bil bukan sekadar catatan kos, tetapi juga muhasabah iman dan cermin kebertanggungjawaban kita sebagai khalifah di bumi ini.
Prof Madya Dr. Zaizul Ab Rahman
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia














