KALI ini saya mencuba pancingan dasar di Khao Lak, Thailand. Perjalanan kami melebihi 1,000 kilometer (km) menggunakan lima buah kenderaan dari Kuala Lumpur. Sebaik melepasi imigresen Wang Kelian, Perlis, kami menuju ke inap desa di Pak Bara untuk berehat sebentar bersama rakan-rakan yang sudah tiba awal.
Selepas itu, kami makan tengah hari di kawasan pantai Pak Bara yang kebanyakan peniaganya beragama Islam. Masing-masing sudah kekenyangan dengan makanan yang lazat, kami terus ke chalet yang terletak di Tambon Ao Nang.
Keesokan harinya, kami menuju ke jeti perikanan Khao Lak. Kru bot membantu memungah barangan ke dalam bot. Satu jam kemudian bot mula bergerak selepas semua bayaran dijelaskan.
Dalam trip ini, saya dapati semuanya berjalan dengan lancar dan memuaskan. Malah, kru bot dengan pantas membantu sehingga meminta kami duduk sahaja dalam setiap tugasan yang normal di atas bot.
Jika dibundarkan dengan pembahagian lima bintang, saya boleh memberi empat bintang kepada perkhidmatan yang mereka berikan. Inilah cara diterapkan mereka dalam apa jua industri iaitu pelanggan adalah ‘raja’ yang mesti dilayan dengan baik.
Selepas empat jam perjalanan, bot berhenti seketika untuk tekong membuat pertukaran secara sistem barter tanpa wang ringgit. Bahan makanan yang segar berupa ketam berwarna merah yang dipanggil ketam ranina ditukar kepada barangan lain.
Bermula pancingan
Kemudian, bot menyambung perjalanan semula dan kami tiba di lokasi pancingan pertama berhampiran Koh Similan atau Pulau Similan kira-kira pukul 5 petang.
Sebelum bot tiba di lokasi, kru bot telah siap menyediakan potongan ikan tongkol sebagai umpan. Ia diletakkan dalam sebekas tong plastik bersama bekas sabun pencuci untuk membasuh tangan.
Kru bot akan memasang umpan pada setiap joran peserta. Perambut yang disediakan berupa tali mono berwarna biru berkekuatan 80 paun (lb) panjang sedepa dan diikat dengan dua bilah mata kail saiz 18 jenis high carbon steel.
Bot tidak akan bersauh, kapten bot akan membunyikan hon, menandakan bot sedang berada betul-betul di atas lubuk ikan. Maka semua peserta harus menurunkan umpan dengan segera.
Menggunakan batu ladung seberat 1.5 kilogram (kg) dapat memudahkan umpan meluncur terus ke dasar sedalam 140 meter (m) seperti apa yang dipaparkan di skrin sonar.
Kami pula menggunakan kekili elektrik, jadi proses menaikkan batu ladung berat atau ikan tidak melelahkan terutamanya di tempat yang dalam sebegini.

Tidak menunggu lama, peserta di bahagian belakang bot, Pudin telah mendaratkan seekor ikan ruby snapper. Ini diikuti oleh Hj. Jali dengan ikan sultan. Rosli dan Pok Joe juga dapat ikan ruby snapper.
Peserta di bahagian hadapan bot pula bergasak dengan tiga ekor ikan gerepoh atau GT. Dua ekor ditewaskan di tangan Ateh dan Zairani menggunakan jig warna merah putih. Rahim pula menewaskan GT dengan jig yang dikarau laju.
Dalam kesibukan bergasak dengan GT, Pok Nik dan Zul berjaya menaikkan ikan ruby snapper dan Hazizi pula mendapat ikan kerapu.
Memang kelam-kabut di sekeliling bot apabila ikan menghentak umpan dan jig pada masa sama.
Matahari mula menghilangkan diri, ikan pun menjadi senyap, kami mengambil kesempatan untuk makan malam dengan hidangan ketam merah masak cili api dan beberapa lagi masakan lain.
Rupa-rupanya ketam merah ini amat sedap. Saya sangka, saya seorang sahaja yang tak pernah makan, rupa-rupanya ramai. Kami siap order tiga kilogram seorang untuk dibawa balik.
Selepas kenyang melantak lauk ketam merah yang sedap itu, tekong mengubah sedikit kedudukan bot untuk mendapatkan posisi lubuk yang lebih tepat.
Hasilnya, saya mendaratkan seekor ikan landok, ini diikuti Rahmad dengan spesies ikan yang sama. Rakan-rakan yang lain turut menaikkan beberapa spesies ikan dasar lain.
Semakin lewat malam, semakin kurang ikan menjamah umpan membuatkan ramai yang terus beradu kepenatan. Keesokannya, kami berpindah ke lokasi pancingan yang terletak dalam tiga jam perjalanan.
Setibanya kami di kawasan tersebut, lima orang dilihat sedang mengewang dan selebihnya pancing dasar.
Gewang menghasilkan ikan tongkol dan yang pancing dasar dapat ikan kerapu dan ruby snapper.
Selepas beberapa jam di sini, kami berpindah lagi dan terus berlabuh. Ini merupakan lokasi terakhir dan masing-masing tahu kena buat kerja overtime untuk menambah hasil tangkapan yang ingin dibawa pulang.
Tangkapan terbesar malam itu merupakan seekor ikan pari minyak oleh Rahmad. Pada pukul 9 pagi, bot mula bergerak pulang ke jeti dan kami tiba lebih kurang waktu zuhur.















