fbpx
JUN HAO meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka China dan dijadualkan bertemu Kunlavut yang merupakan pemain No.1 dunia. - AFP

Terbuka China: Singkir Nishimoto, Jun Hao ke pusingan kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Leong Jun hao tidak berdepan banyak masalah untuk melangkah ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka China selepas menyingkirkan pemain Jepun, Kenta Nishimoto.

Pada aksi pusingan pertama di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou sebentar tadi, bekas juara remaja Asia itu menampilkan aksi cukup cemerlang bagi mencatat kemenangan straight set 21-15, 21-18.

Lebih manis, keputusan tersebut menyaksikan Jun Hao sudah mencatat tiga kemenangan ke atas pemain No.13 dunia itu dalam lima pertemuan setakat ini.

Turun dengan status sebagai perseorangan lelaki No.1 negara, Jun Hao menampilkan aksi cukup baik dalam kedua-dua set permainan meskipun Nishimoto cuba memberikan saingan di penghujung set kedua.

“Secara jujur, perlawanan hari ini agak rumit kerana berdepan pergerakan angin yang agak kuat di dalam gelanggang. Bagaimanapun, saya berjaya mengawalnya dengan baik sepanjang perlawanan.

“Saya gembira kerana dapat mengawal permainan dengan baik hari ini. Saya fikir ia mungkin menjadi salah satu faktor yang membezakan kedua-dua pemain,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Menjelang pusingan kedua Khamis ini, Jun Hao dijangka berdepan laluan sukar apabila dijadualkan menentang pemain No.1 dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang menewaskan Alwi Farhan dari Indonesia 10-21, 21-15, 21-18.

Turut melangkah ke pusingan kedua nanti adalah dua beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang menewaskan lawan masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN