PETALING JAYA – Bintang olahraga negara, Muhammad Azeem Fahmi berpeluang melakar sejarah baharu sebagai pelari pecut pertama Malaysia melangkah ke pentas final 100 meter (m) Sukan Universiti Dunia (WUG) di Rhine-Rhur ketika ini.
Azeem, 21, menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir acara riben biru tersebut selepas mengungguli peringkat saringan tujuh berlangsung di Lohrheidestadion, Jerman awal pagi tadi.
Penuntut Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat itu merakam masa 10.57 saat (s) dalam keadaan hujan dan berangin untuk menewaskan dua pencabar terdekatnya, Joeljin Nwamadi dari Korea Selatan (10.61s) dan pelari Kanada, Nikolas Dowhos (10.72s).
Di separuh akhir awal pagi nanti, pemegang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou itu akan berdepan Bayanda Joy Walaza dari Afrika Selatan yang menjadi calon utama berdasarkan rekod peribadinya mencetak masa bawah 10s iaitu 9.94s.
Berdasarkan statistik, pelari berasal dari Teluk Intan, Perak itu sepatutnya tiada masalah menjadi antara dua terbaik dalam peringkat separuh akhir tiga disebabkan rekod peribadinya 10.09s selain catatan tahunan terbaik, 10.20s.
Azeem dan Joy Walaza adalah dua pelari dengan rekod peribadi serta catatan tahunan terbaik berbanding enam lagi peserta di peringkat separuh akhir tiga awal pagi nanti.
Seandainya gagal meraih tempat pertama atau kedua, pemegang rekod 100m kebangsaan itu perlu memastikan dirinya berada dalam kelompok dua pelari dengan catatan terbaik daripada tiga peringkat separuh akhir.
Sebagai rekod, separuh akhir berlangsung pada pukul 2.10 pagi nanti dan final dijalankan hari yang sama pada pukul 3.40 pagi ini. – KOSMO! ONLINE