KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh kawalan keselamatan di ibu kota terus diperkasa apabila Pangkalan Cawangan Kereta Peronda di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul mula beroperasi secara rasmi hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, ia menjadi bukti komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam meningkatkan kecekapan rondaan, khususnya di kawasan tumpuan penduduk seperti Sentul.
Rusdi berkata, kewujudan pangkalan tersebut merupakan hasil cetusan idea Ketua Polis Daerah dan Timbalan Ketua Polis Daerah IPD Sentul yang kemudiannya dibawa kepada beliau pada penghujung tahun 2024 untuk pertimbangan dan pelaksanaan segera.
“Saya bersetuju meneruskan projek ini kerana melihat kepada keperluan mendesak, namun kita sedar bahawa peruntukan kerajaan akan mengambil masa.
“Justeru, kita bersyukur apabila beberapa individu tampil memberikan sumbangan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pangkalan Cawangan Kereta Peronda di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.
Jelas Rusdi, pangkalan berkenaan akan menjadi pusat operasi utama bagi Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Sentul yang berperanan sebagai barisan hadapan atau first responder dalam menangani pelbagai kes kecemasan dan jenayah.
Tambahnya, semasa beliau memegang jawatan sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur, statistik rondaan dan tangkapan oleh pasukan MPV dan URB menjadi antara laporan harian utama yang diterima setiap pagi bagi tujuan pemantauan dan penambahbaikan operasi.
“MPV adalah antara frontliner paling penting dalam menjamin keselamatan ibu kota. Kebanyakan tangkapan awal seperti kes jenayah, dadah, malah imigresen juga bermula daripada rondaan mereka,” katanya.
Beliau turut memuji perancangan IPD Sentul dalam memastikan fasiliti pangkalan yang dibina menepati keperluan operasi, termasuk ruang letak kenderaan yang teratur, bilik taklimat, kawasan rehat serta susun atur yang sistematik dan bersih.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng muncul penyumbang utama yang menyalurkan dana sebanyak RM250,000, diikuti Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dengan RM15,000, selain beberapa lagi sumbangan lain yang membolehkan pembinaan pangkalan tersebut disiapkan sepenuhnya.
Lip Eng turut mencadangkan agar penambahan unit kamera badan (bodycam) yang ketika ini berjumlah 157 unit dan kamera papan pemuka (dashcam) dipertimbangkan oleh kerajaan bagi memperkasakan lagi rondaan anggota MPV dan URB, selain meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan dan integriti pasukan polis.
Malah, Lip Eng berharap Kementerian Dalam Negeri dapat memperuntukkan lebih banyak unit bodycam dan dashcam khusus untuk kegunaan PDRM Kuala Lumpur.
“Kita tahu Kuala Lumpur adalah pusat bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi serta pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan. Maka, risiko jenayah juga lebih tinggi. Justeru, saya harap peralatan ini diberi keutamaan di sini,” katanya. – KOSMO! ONLINE