SERDANG – Polis giat mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan individu tersebut kira-kira pukul 11.24 malam.
Menurut beliau, individu yang hilang dikenali sebagai S. Saranraj, 25, berbangsa India dan kali terakhir dilihat berada di kawasan Jalan Kuari, Sungai Long, Hulu Langat pada Jumaat kira-kira pukul 1 petang.
“Lelaki itu dilaporkan menaiki sebuah motosikal jenis Honda RS150 berwarna putih dengan nombor pendaftaran VKR7543 ketika dilihat kali terakhir.
“Berdasarkan keterangan yang diperoleh, mangsa mempunyai ketinggian lebih kurang 178 sentimeter, berat badan 63 kilogram, berkulit gelap dan memakai baju T-shirt hitam merah serta seluar panjang berwarna biru ketika dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Sukri Che Mat di talian 03-8076 2222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE