fbpx
ELEMEN seperti kayu, tanah liat, batu dan rotan menyerlahkan konsep dekorasi wabi sabi.

Wabi sabi elegan dalam sederhana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sebalik rona dan susun atur, setiap pemilik kediaman mempunyai idea dan konsep tersendiri yang dapat menyerlahkan personaliti selain mencetuskan nuansa tenang dan selesa.

Begitu juga dengan gaya wabi sabi dari Jepun yang muncul sebagai pilihan kian meningkat popular kalangan pemilik kediaman dalam usaha mencari ketenangan dan kesederhanaan.

Menurut pereka dalaman Aishah Isa, konsep wabi sabi menggunakan bahan semula jadi seperti kayu, tanah liat, batu dan linen.

Sementara pilihan warna pula lebih tertumpu kepada rona bumi antaranya kelabu lembut, coklat tanah, putih beras dan hijau lumut.

“Konsep ini membuatkan pemilih berasa lebih dekat dengan alam semula jadi kerana mengetengahkan pilihan perabot dan warna bersifat semula jadi.

“Tekstur kasar dan permukaan tidak rata menyerlahkan personaliti, malah gaya ini melambangkan keaslian dan kehidupan,” kata Aishah kepada CitaRasa.

Meskipun memberi fokus kepada konsep sederhana, namun wabi sabi juga boleh memberikan emosi mewah mengikut pilihan warna, bentuk perabot dan susun atur.

Selain perabot, pencahayaan turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan suasana yang damai dan reflektif.

“Cahaya semula jadi sangat digalakkan kerana konsep ini menekankan elemen semula jadi. Tetapi, menggunakan cahaya buatan juga tidak masalah, cuma pilihan lampu perlu tidak simetri atau terlalu teratur.

“Menggunakan lampu gantung yang diperbuat daripada rotan dan disusun secara berlapis seperti ada tinggi dan rendah boleh diterapkan.

“Kebanyakan lampu gantung yang digunakan menyerlahkan konsep ini menjadi berbentuk bulat, separa bulat atau bujur,” katanya.

Perhiasan seperti pasu bunga atau dekorasi diperbuat daripada seramik atau tanah liat juga lebih menyerlah dan menarik perhatian.

Permukaan perabot dibiarkan kasar, tidak berkilat atau mempunyai kesan usang yang menyerlahkan ‘watak’ asli seperti mengekalkan serat atau rekahan asli sekiranya diperbuat daripada kayu.

“Padanan perabot kayu dengan kusyen lembut dari linen, kapas atau fabrik semula jadi dapat mencipta keseimbangan antara struktur dan kelembutan.

“Jika kerusi diperbuat daripada kayu atau rotan, boleh letakkan kusyen nipis atau lapik duduk di atasnya sama ada jenis bangku kayu, kerusi panjang atau kerusi makan agar lebih praktikal dan estetik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beberapa tip turut dikongsikan seperti guna kusyen tanpa corak atau motif minimum mahupun sangat halus.

Sebaiknya elak menggunakan fabrik moden seperti baldu atau kulit sintetik.

“Dinding pula tidak perlu terlalu sempurna atau licin seperti kebiasaan rumah yang kita dapat lihat.

“Kalau boleh gunakan kaedah plaster kapur atau limewash untuk menyerlahkan identiti.

“Kesan retak halus atau warna tidak sekata membuatkan konsep wabi sabi lebih terserlah sekali gus melambangkan kejujuran bahan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN