MUNICH – Erik ten Hag sekali lagi mengharungi detik buruk apabila debutnya dengan Bayer Leverkusen berakhir dengan kekalahan 1-5 kepada skuad bawah 20 tahun Flamengo, awal pagi semalam.
Keputusan pada persahabatan ini nyata sesuatu yang sukar untuk diterima ketika Ten Hag hadir ke dalam pasukan bagi menggantikan Xabi Alonso yang sudah pun mencipta legasi baik bersama pasukan.
Terdahulu, segalanya seakan tidak kena buat Bayer Leverkusen apabila ketinggalan 0-4 di babak pertama sebelum Flamengo B-20 menambah satu lagi gol di awal babak kedua.
Bagaimanapun, ia menjadi peluang terbaik untuk Ten Hag untuk mengintai kelemahan pasukan selepas Bayer Leverkusen hilang dua pemain penting, Florian Wirtz dan Jeremie Frimpong yang berhijrah ke Liverpool.
Keputusan kali ini turut menimbulkan persoalan tentang kualiti yang ada pada Ten Hag yang kini turut menyatakan kesediaan untuk kembali memberikan peluang kepada bekas anak didiknya di Ajax dan Manchester United, Antony.
Mengulas mengenai khabar angin perpindahan Antony, Ten Hag tidak menutup peluang untuk pemain dari Brazil itu kembali memainkan peranan penting dalam pasukannya.
“Dia (Antony) adalah pemain berkualiti dan saya pernah menandatanganinya dua kali. Dia tidak ubah seperti anak saya sendiri, jadi kita lihat apa yang akan berlaku pada masa akan datang,” katanya. – AGENSI