TEKA-teki mengenai masa depan penyerang skuad Harimau Malaya, Syafiq Ahmad akhirnya terjawab selepas sah beraksi dengan pendatang baharu Liga Malaysia, Brunei DPMM FC bagi saingan musim 2025/2026.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Brunei DPMM FC, pihak pengurusan sudah mencapai persetujuan dengan Syafiq yang sebelum ini mewakili Kedah Darul Aman (KDA FC) secara pinjaman daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Syafiq Ahmad, pemain JDT telah memutuskan untuk menyertai DPMM FC menjelang saingan Liga Super musim depan.
“Pemain JDT menyertai KDA FC secara pinjaman semusim dan musim lalu menyaksikan Syafiq beraksi sebanyak 11 kali dan dipanggil menyertai skuad kebangsaan sebanyak dua kali pada 2024,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Kehadiran Syafiq telah menguatkan lagi skuad kendalian Jamie McAllister itu selepas turut menandatangani dua lagi pemain tempatan, Fairuz Zakaria daripada pasukan Penang FC dan Tommy Mawat Bada (Perak FC) baru-baru ini.
Syafiq yang kini berusia 30 tahun dianggap sebagai salah seorang penyerang berkualiti kelahiran tempatan dan mewakili skuad Harimau Malaya sejak membuat debut pertama pada 2017.
Syafiq bakal bersaing dengan penyerang Indonesia, Ramadhan Sananta untuk merebut slot selaku penyerang utama pasukan berpangkalan di kepulauan Borneo itu musim depan.