fbpx

Martin buat ‘pusingan U’, kekal di Aprilia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARTIN semakin menunjukkan progres yang positif dan berkemungkinan besar turun beraksi di Litar Brno hujung minggu ini.

BRNO, Republik Czech – Juara bertahan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2024, Jorge Martin membuat pusingan U apabila memutuskan untuk terus kekal bersama Aprilia bagi musim 2026 sekali gus menamatkan kemelut kontrak yang berlarutan sejak awal musim ini.

Martin yang sebelum ini menyertai Aprilia selepas meninggalkan Pramac Ducati, pernah mengumumkan hasrat untuk keluar lebih awal dengan menggunakan klausa pelepasan dalam kontraknya, namun perancangannya ditolak oleh pasukan itu.

Pelumba Sepanyol itu mengakui, dia bertindak sedemikian apabila berdepan tekanan mental dan fizikal selepas tiga siri kecederaan yang menjejaskan persiapan awal musim menyebabkan dia hanya beraksi sekali dalam perlumbaan sebenar setakat ini.

“Saya terpaksa buat keputusan besar sama ada teruskan dengan Aprilia atau cari pasukan baharu. Akhirnya saya pilih untuk kekal. Aprilia berhak mempertahankan klausa mereka dan saya hormatinya,” kata Martin dalam sidang akhbar khas di Brno.

Konflik terbabit hampir dibawa ke mahkamah apabila ejennya, Albert Valera mendakwa Martin bebas daripada kontrak dan sedang mempertimbangkan tawaran daripada Honda tetapi Aprilia bertegas perjanjian masih sah hingga 2026.

Tindakan Aprilia mempertahankan kontrak Martin turut mendapat sokongan Dorna kerana tiada pelumba dibenar tukar pasukan tanpa persetujuan bersama.

Martin turut mengakui persembahan cemerlang rakan sepasukan, Marco Bezzecchi termasuk kemenangan di Grand Prix (GP) Britain dan beberapa podium lain mendorong keyakinan terhadap masa depannya bersama Aprilia.

Pelumba berusia 27 tahun itu kini kembali cergas selepas pulih daripada kecederaan di Qatar dan bersedia untuk turun ke Litar Brno menjelang GP Rep. Czech hujung minggu ini, lokasi di mana dia meraih podium Moto3 pada 2016.

“Saya rasa sudah bersedia. Fizikal saya paling kuat setakat ini. Walaupun kurang jam atas jentera RS-GP, tapi saya gunakan masa rehat ini untuk pulih sepenuhnya,” ujar Martin. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI