fbpx

MPC, TSG timbang nasib ke Sukan SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAYUTI

DUA pasukan profesional berbasikal lebuh raya negara, Malaysia Pro Cycling (MPC) dan Terengganu Cycling Team (TSG) meletakkan 23 Julai ini sebagai tarikh penentu sama ada akan beraksi atau menarik diri daripada Sukan SEA Thailand 2025.

Isu utama dibangkitkan adalah kegagalan mendapatkan dana minimum sebanyak RM250,000 termasuk keperluan pembelian basikal time trial baharu untuk membolehkan mereka bersaing secara kompetitif di Bangkok hujung tahun ini.

Pengarah Sukan MPC, Sayuti Zahit menyifatkan mesyuarat bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sebagai kata putus terakhir, malah memberi bayangan mungkin menarik diri jika tuntutan mereka terus dipandang sepi.

Sayuti menegaskan, pelumba profesional negara selama ini membiayai sendiri latihan dan penyertaan perlumbaan di luar negara secara tidak langsung membantu kerajaan menjimatkan kos pembangunan atlet berbasikal lebuh raya.

“Dua kali kita menang emas di Sukan SEA, tapi bila minta sokongan minimum pun masih berkira-kira. Kalau tak ada jalan keluar, saya rasa baik kita mengundurkan diri secara baik.

“Tak ada benda percuma dalam dunia ni. Kita bukan di bawah program MSN. Kita di luar program, jadinya, semua titik peluh pelumba mahupun pasukan menggunakan dana sendiri.

“Kalau dalam program MSN, lain cerita kerana ada elaun, ada kemudahan. Tapi kami nak bawa pingat emas, guna duit sendiri, berlatih sendiri, tapi nak dapat basikal baru pun susah. Sedih tengok nasib pelumba kita.

“Kita telah buktikan, dua pingat emas dicapai sewaktu di Vietnam dan Kemboja. Jadi tidak timbul isu skuad berbasikal tidak mempunyai kemampuan untuk mencabar emas sekali lagi,” katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, jentera digunakan atlet negara adalah model 2019 yang sudah ketinggalan teknologi dan tidak lagi sesuai digunakan dalam perlumbaan bertaraf antarabangsa.

Sayuti turut melahirkan kebimbangan mengenai prestasi negara berbanding jiran serantau seperti Thailand, Filipina dan Indonesia yang masing-masing memiliki lebih banyak pasukan continental dan program pembangunan tersusun menjelang temasya dwitahunan tersebut.

“Kita bukan minta lebih-lebih. Time trial perlukan teknologi terkini, bukan sekadar kayuh kuat. Kalau mahu kejar emas, persiapan juga mesti sepadan. Kalau tak disokong sekarang, kita bakal hilang emas yang selama ini jadi kebanggaan negara.

“Saya tak nak kemelut ini diteruskan, kami mahu satu titik penyelesaikan diputuskan pada 23 Julai nanti. Sukan SEA tidak lama lagi, keputusan harus segera dibuat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI