TIADA siapa menduga, hubungan antara penyanyi popular Shila Amzah dan legenda rock tanah air, Datuk Amy Search menjadi keruh hanya kerana insiden yang berlaku pada sesi latihan konsert Mr D.I.Y 20th Anniversary.
Menurut laporan rata-rata media, Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, 67, dikatakan mengherdik Shila dengan kata-kata berbunyi, ‘Aku dah lama cari kau, tunggulah nasib kau nanti’.
Ayat keras tersebut dikatakan berpunca daripada campur tangan Shila berhubung masalah keluarga Amy, isteri dan anaknya Nabila Huda.
Polis sahkan motif dipercayai impak rasa tak puas hati Shila yang diisfatkan ‘campur urusan keluarga orang’.
Hujung minggu lalu, Shila menjelaskan, dia cuma menyatakan sokongan buat Nabila memandangkan pernah alami hal hampir sama.
“Bila kata saya kacau keluarga orang, memang tak berasas,” katanya.
HibGlam merangkumkan beberapa perseteruan selebriti popular yang masih berbekas dalam sanubari ramai. Ada yang diselesaikan secara aman, ada juga luka yang masih berdarah dan membengkak di dalam dada.
Rita Rudaini vs Aidil Zafuan
Punca: Nafkah anak dan pengabaian tanggungjawab selepas bercerai.
Pernah bahagia suatu ketika dahulu, namun langit mendung datang menjelma. Selepas bercerai, Rita dan bekas suami, Aidil Zafuan saling sindir-menyindir dalam media sosial. Rita yang berstatus ibu tunggal sejak 12 tahun lalu membesarkan dua anak, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna tanpa kelibat lelaki bernama suami. Airit Rayyan Rizqin kini cemerlang di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Kesan: Tidak pasti sama ada Rita berbaik dengan Aidil, namun dia sering menyifatkan kejayaan dua anaknya berlaku tanpa campur tangan bekas suami.
Ara Johari vs Wani Kayrie
Punca: Salah faham semasa siaran langsung promosi produk.
Berlaku pergaduhan kecil dalam siaran langsung TikTok. Ada sindiran seperti “Dia jealous lah!” yang mengundang pelbagai reaksi netizen. Difahamkan pergaduhan tersebut sebenarnya bukan rekaan, namun lama-kelamaan naratif berubah sepertinya tidak perlu keruhkan keadaan dan berdamai dengan segala yang berlaku.
Kesan: Mereka tampil menjelaskan kemudian bahawa semuanya hanyalah lakonan dan agenda promosi.
Fazura vs Neelofa
Punca: Spekulasi cemburu dan persaingan dalam industri hiburan dan fesyen.
Bekas rakan baik ini pernah saling unfollow dalam Instagram. Wujud sindiran antara mereka dalam temu bual dan kapsyen media sosial masing-masing. Sehingga kini, Fazura dan Neelofa dikatakan meneruskan kehidupan masing-masing tanpa perlu berjabat tangan tanda persahabatan.
Kesan: Peminat terbelah dua dan wujud #TeamFazura dan #TeamNeelofa sehingga pernah trending dalam media sosial.
Puteri Sarah vs Ira Kazar & Syamsul Yusof
Punca: Isu orang ketiga dalam rumah tangga.
Puteri Sarah menyaman Ira Kazar atas dakwaan gangguan orang ketiga. Konflik rumah tangga dengan Syamsul Yusof menjadi tatapan umum sehingga mereka akhirnya bercerai.
Ira dan Syamsul juga bercerai selepas dua tahun berkahwin. Mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor pada 5 September 2024
Kesan: Menjadi antara pergaduhan selebriti paling kontroversi hingga berheret ke mahkamah berbulan-bulan lamanya.
Syamsul Yusof vs Ammar Alfian
Punca: Isu berhubung wanita pada 2013.
Syamsul dan Ammar hampir bertumbuk di sebuah restoran dikatakan kerana berebut seorang wanita yang sama suatu ketika dahulu. Disebabkan insiden tersebut, mereka tidak bertegur selama lebih 13 tahun. Waktu bergulir, masing-masing kini sudah mempunyai kehidupan tersendiri dan memilih untuk matang mendepani masa depan sebagai lelaki lebih bertanggungjawab.
Kesan: Mereka sudah berbaik, bergambar bersama laman sosial masing-masing terutama dalam Threads.