PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menamatkan lawatan rasmi lima hari ke New Zealand dengan pelbagai kejayaan membanggakan, sekali gus membuka lembaran baharu hubungan dua hala antara Malaysia dan negara itu.
Lawatan yang merangkumi tiga bandar utama iaitu Auckland, Rotorua dan Wellington menyaksikan pelbagai bentuk kerjasama dipersetujui dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan kemanusiaan.
“Alhamdulillah, selesai sudah segala urusan rasmi sepanjang lawatan saya dan para delegasi ke New Zealand (Auckland, Rotorua dan Wellington) yang membuka lembaran baharu kerjasama Malaysia–New Zealand yang lebih strategik, menyeluruh dan inklusif,” katanya dalam satu hantaran di platform X.
Antara pencapaian penting termasuk perluasan eksport buah-buahan Malaysia, kerjasama halal, TVET serta pembangunan modal insan, perjanjian pendidikan dan pertukaran pelajar, selain pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara NADMA dan NEMA dalam aspek pengurusan bencana.
Zahid turut memaklumkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan komuniti peribumi serta menyumbang kepada masyarakat Islam di New Zealand.
“Ini termasuk juga usaha mempromosi pelancongan Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” ujarnya lagi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand serta semua pihak yang terlibat atas komitmen tinggi sepanjang lawatan berlangsung.
“saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang menjayakan lawatan ini khususnya pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, para pegawai, agensi, serta pasukan keselamatan atas dedikasi dan komitmen tinggi sepanjang berada di sini,” tambahnya.
Lawatan berimpak tinggi itu dijangka menjadi pemangkin kepada hubungan dua hala yang lebih erat antara Malaysia dan New Zealand pada masa hadapan.
“Insya-Allah, apa yang telah dicapai sepanjang lawatan ini akan terus menjadi pemangkin kepada hubungan dua hala Malaysia-New Zealand yang kekal utuh dan berimpak tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE