PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan kes seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Papar, Sabah meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga sekolah tersebut.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah turut menyalurkan bantuan segera kepada keluarga termasuk aspek sokongan psikososial.
“Saya dan pengurusan tertinggi kementerian menziarahi keluarga di hospital bagi memastikan semua keperluan dan kebajikan keluarga terpelihara.
“Pada waktu ini kejadian dalam siasatan pihak polis. Saya menyeru masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang mungkin boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama di Papar dipercayai menjadi mangsa buli maut selepas terjatuh dari tingkat tiga sekolah tersebut.
Mangsa meninggal dunia pada malam Khamis ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).
Dalam pada itu, Fadhlina meminta orang ramai menghormati privasi keluarga mangsa dan memberi ruang sepenuhnya terhadap siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.
“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE