SEREMBAN – Sebuah video tular di media sosial memaparkan dua kanak-kanak perempuan yang masih kecil didakwa ditinggalkan oleh ibu bapanya di tepi jalan di Garden Avenue Seremban 2, di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua kanak-kanak itu telah pun diambil oleh bapa, namun enggan mengulas lanjut.
Dalam video berdurasi 12 saat itu kelihatan seorang kanak-kanak perempuan duduk di tepi jalan sambil dipeluk adik perempuannya dari belakang beserta satu botol susu di tepi mereka.
Turut kelihatan dalam video tersebut ialah sebuah kereta peronda polis dan beberapa orang awam.
Terdahulu, perkongsian video berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dengan kebanyakannya meluahkan simpati dengan nasib dua beradik itu selain turut mengecam tindakan ibu bapa mereka.
Seorang pengguna Facebook tampil memaklumkan bahawa kanak-kanak terbabit bukannya ditinggalkan, sebaliknya mereka keluar sendiri dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapa.
“Bukan kena buang…kakak dia bawa adik keluar,ayah sedang tidur”, kata pemilik akaun Shahrul Ahmad.
Malah, dia turut berkongsi gambar kedua-dua kanak-kanak itu bersama seorang lelaki dipercayai bapa mereka. – KOSMO! ONLINE