JURANG kualiti yang besar antara Malaysia dan Brunei bukan jaminan buat skuad bawah 23 tahun (B-23) negara yang kini berdepan misi hidup mati untuk meneruskan kemaraan di Piala Asean B-23 2025 kali ini.
Kekalahan 0-2 kepada Filipina pada aksi pertama Kumpulan A wajar dijadikan pengajaran yang menyaksikan skuad kendalian Nafuzi Zain mengalami kekecewaan walaupun berjaya tampil positif dengan menguasai hampir keseluruhan permainan.
Situasi semasa menyaksikan pemain negara tiada jalan pintas dan perlu mengetepikan segala tekanan dengan memastikan kemenangan besar selepas tuan rumah, Indonesia berpesta gol membelasah Brunei 8-0.
“Saya tetap bangga dengan sikap yang dipamerkan oleh pemain, walaupun kita ketinggalan, mereka tidak pernah menunjukan sikap putus asa. Mungkin nasib tidak berpihak kepada kita untuk catat kemenangan ke atas Filipina.
“Jadi kami sekarang kena lihat dan perbaiki apa saja kekurangan yang kita ada, sama ada di bahagian pertahanan, serangan dan posisi lain,” kata Nafuzi.
Petang ini skuad B-23 akan turun ke Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta buat kali kedua dan kemenangan besar akan meredakan kritikan peminat yang dipalit kecewa ekoran kekalahan kepada Filipina.
Pertahanan yang juga ketua pasukan, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili menjelaskan tiada apa yang mustahil untuk melihat skuad B-23 mara lebih jauh tetapi keutamaan sekarang adalah membina keyakinan dalam diri setiap pemain.
“Kami memperoleh pengajaran berguna untuk pamer kebangkitan pada perlawanan kedua. Kami memilih jalan sukar tetapi bagi saya, selagi mana kita ada kepercayaan, peluang kami masih ada,” katanya.