BOLING memerlukan kawalan, imbangan dan fokus tinggi, sekali gus menjadikan sukan itu lebih mencabar apabila dimainkan di peringkat kompetitif.
Namun, ada segelintir pemain dikurniakan kelebihan luar biasa iaitu kebolehan ambidextrous yang hanya dimiliki oleh satu peratus manusia di dunia.
Ambidextrous bermaksud keupayaan menggunakan kedua-dua belah tangan dengan tahap kemahiran yang seimbang.
Kelebihan tersebut dimiliki oleh atlet cilik dari Perak, Adam Mikhail Moorthy yang sering memanfaatkan kelebihan itu ketika bermain boling dengan rakan-rakannya.
Akui atlet berusia 13 tahun itu, dia selesa menggunakan tangan kanan yang lebih dominan apabila berada dalam pertandingan kompetitif.
“Walaupun boleh bermain boling dengan kedua-dua belah tangan, namun saya lebih selesa dan dominan guna tangan kanan semasa pertandingan.
“Tapi ketika latihan atau bermain santai dengan kawan-kawan, saya memang guna tangan kiri untuk suka-suka.
“Saya mampu melakukan balingan yang baik dengan kedua-dua belah tangan.
“Cuma untuk pertandingan, saya pilih satu tangan yang mampu menghasilkan keputusan lebih baik,” katanya yang juga boleh menulis dengan kedua-dua tangan.
Untuk rekod, pada tahun ini, Adam muncul juara bagi kategori Lelaki Bawah 16 Tahun dan johan bagi kategori Lelaki Bawah 12 Tahun Grand Prix Final Junior Kinta League.
Anak sulung daripada tiga beradik itu juga berjaya meraih johan bagi kategori Lelaki Bawah 15 Tahun, selain mencatat jatuhan pin tertinggi dalam kategori sama pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Perak Tengah.

Di peringkat negeri pula, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Yakub, Bota itu telah dinobatkan sebagai johan bagi kategori berpasukan pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perak (MSSPK).
Menurut remaja yang mesra disapa Adam itu, dia mula bermain boling sejak berumur tujuh tahun selepas minatnya dalam sukan tersebut dihidu oleh ibu bapanya.
Mereka memberi sokongan penuh dengan menghantar Adam ke kelas latihan di bawah bimbingan jurulatih, Khairul Faizi.
Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sesi latihan Adam terganggu, namun dia kembali aktif dan lebih serius bermain boling selepas itu.
“Latihan boling saya biasanya pada hari Selasa dan Khamis dari pukul 5 hingga 7 petang.
“Selain itu, saya ada pergi ke gimnasium dan berlari untuk kuatkan stamina. Setakat ini, saya tiada diet khas,” katanya.
Idola Adam dalam sukan boling ialah atlet boling kebangsaan yang berjaya mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama memenangi gelaran Professional Bowlers Association Tour (PBA Tour), Tun Ameerul Luqman Al‑Hakim Tun Hasnul Azam.
Walaupun Adam tidak meniru teknik permainan Tun Ameerul Luqman secara langsung, namun disiplin dan semangat juang idolanya itu sentiasa menjadi sumber inspirasi.
“Saya memang kagum dengan Tun Ameerul Luqman. Dia juga belajar dengan jurulatih saya, walaupun teknik permainan kami mungkin tidak sama.
“Saya suka tengok sikap dan semangat dia ketika bermain kerana nampak tenang tapi bersungguh.
“Dia juga tidak mudah putus asa dan itu menjadi sumber inspirasi kepada saya,” katanya.














