KUALA NERUS – Anak perempuan Asisten Komisioner Faizul Muhammad yang merupakan salah seorang mangsa nahas helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor minggu lalu terpaksa menangguhkan pendaftaran ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.
Nur Afiqah Suffiyah Faizul, 18, sepatutnya mendaftar bagi mengikuti pengajian Diploma Radiografi namun menangguhkan pendaftaran pada Ahad ini memandangkan situasi bapa dan keluarganya yang masih belum stabil.
Ibunya, Superintendan Siti Hamidah Omar, 45, berkata, mereka sekeluarga kini berada di Johor kerana suaminya, Faizul masih menerima rawatan susulan.
“Insya-Allah saya akan hantar Afiqah pada Ahad ini bersama seorang anak lagi.
“Kami sudah maklumkan kepada pihak universiti (UniSZA) tentang penangguhan. Buat masa ini, saya perlu uruskan suami dahulu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Nur Afiqah yang merupakan anak sulung daripada empat beradik merupakan antara 1,035 pelajar baharu yang sepatutnya mendaftar ke UniSZA semalam bagi kemasukan sesi 2025/2026.
Kosmo! 11 Julai lalu melaporkan sebuah helikopter milik PDRM terhempas ketika melakukan Latihan Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025).
Insiden pada pukul 10.25 pagi itu melibatkan dua pegawai kanan dan tiga anggota termasuk juruterbang dari Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman serta anggota Balai Polis Tanjung Kupang. – KOSMO! ONLINE