SUBANG JAYA – Tidak puas hati kerana menipu menjadi punca seorang penuntut wanita warga asing diserang dan dikelar bekas teman lelakinya dengan pisau dalam kejadian di sebuah universiti swasta di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek mendakwa bekas teman wanitanya menipu dengan mengatakan dirinya menghalang mangsa keluar dari rumah.
“Teman lelaki mangsa direman empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini.
“Setakat ini polis masih dalam tindakan untuk mengambil keterangan saksi terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang mengalami kecederaan ditempakan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan sedang berada dalam pemantauan.
Semalam Kosmo! melaporkan seorang penuntut wanita warga asing cedera selepas diserang dan dikelar bekas teman lelakinya dengan pisau dalam kejadian di sebuah universiti swasta di sini.
Siasatan awal mendapati wanita berusia 20 tahun itu cedera dikelar di leher selepas diserang suspek yang juga warga asing.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE