PETALING JAYA – Soalan matematik tahun satu tular di media sosial selepas didakwa mengelirukan sehingga bukan sahaja murid, malah golongan dewasa turut gagal memahaminya.
Menerusi satu hantaran di Facebook milik Othman Talib, dia memuat naik gambar kertas ujian tersebut yang memaparkan soalan tidak jelas serta berunsur ‘berkias’, menyebabkan ramai tertanya-tanya apakah bentuk operasi yang ingin diuji.
“Maaf sayang… orang dewasa lupa mereka pernah jadi kanak-kanak. Tiada siapa semak ke soalan macam ini? Dalam matematik, mana ada operasi ‘kombinasi’,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tambahnya, kesilapan menggubal soalan tidak seharusnya dihukum ke atas murid. Sebaliknya, guru patut memberi markah bonus jika soalan itu sendiri tidak jelas atau tidak adil.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati rata-rata netizen turut bersetuju bahawa soalan tersebut tidak wajar untuk tahap pemikiran murid darjah satu.
“Darjah satu, tanya soalan macam ini? Saya yang jurutera pun boleh jawab macam budak tu jawab sebab tak ada operasi. Situasi pun tak jelaskan,” komen Muttalib Usman.
“Arahan gagal difahami. Tak tahu dia nak apa. Ini bukan soalan aras tinggi, ini aras syok sendiri,” kata Zuriana Rahim.
“Anak saya sampai tak faham soalan ni… dia tak boleh jawab langsung soalan macam ini dalam buku latihan dia,” ujar Zuriani Mohamad. – KOSMO! ONLINE