SHAH ALAM – Siasatan polis terhadap program motivasi rumah tangga eHATI yang mencetuskan kontroversi kini ditumpukan kepada tiga jenis kesalahan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan terhadap program itu sebelum ini telah dimulakan melalui pembukaan kertas inkuri polis (KEP).
“Hasil siasatan lanjut, kes tersebut kini telah diklasifikasikan dibawah kertas siasatan Seksyen 294 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
“(Ini bagi membolehkan) siasatan secara teliti bagi mengenalpasti kewujudan sebarang elemen lucah atau ajaran yang menyimpan daripada norma masyarakat seperti didakwa,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Untuk rekod, Seksyen 294 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan lucah di tempat awam manakala Seksyen 504 kanun sama pula sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.
Sementara Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 adalah kesalahan berkelakuan kurang sopan atau membuat kenyataan yang kurang sopan yang bertujuan untuk membangkitkan kemarahan.
Justeru, kata Hussein, siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan setiap aspek dakwaan dapat dinilai dengan adil.
“Sehubungan itu, pihak polis akan memanggil semua peserta yang hadir dalam program tersebut untuk dirakam percakapan dibawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE