NEW JERSEY – Pemain sensasi Chelsea, Cole Palmer mengakui teruja dapat menutup kempen musim ini dengan cemerlang selepas membantu pasukan menjuarai Piala Dunia Kelab dengan menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 3-0 awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Palmer berada dalam kelas tersendiri apabila meledak dua gol selain membuat hantaran tepat buat Joao Pedro bagi melengkapkan kemenangan bergaya ke atas juara Eropah itu.
Kata Palmer, keputusan yang diraih cukup bermakna memandangkan ramai pengkritik mempersoal kebolehan pasukan untuk menang selain menjangka bakal tewas dengan jaringan besar kepada PSG.
“Kita telah mengakhiri musim ini dengan bergaya kerana ramai menganggap pasukan kami sebagai underdog. PSG adalah pasukan berkualiti tetapi di pentas final apa sahaja boleh berlaku.
“Pujian wajar diberikan kepada jurulatih (Enzo Maresca) kerana mengatur strategi terbaik dan tahu mana kelemahan PSG. Saya cuma membalas kepercayaannya dan berjaya menjaringkan dua gol,” katanya.
Sementara itu, kapten The Blues, Reece James mengakui sangat teruja dapat membantu pasukan menjuarai trofi berprestij itu selepas Piala Dunia Kelab dirombak dengan format baharu.
“Ini adalah impian saya sejak kecil untuk menjulang trofi bersama Chelsea sebagai kapten. Kita berjaya bergelar juara dunia dan semua kelab yang bertanding dalam kejohanan ini bukan calang-calang pasukan,” katanya. – AGENSI