fbpx
HARIZ kini selesa menggunakan Canon Powershot A50 yang telah lama dimiliki untuk dibawa ke mana sahaja.

Hariz Hamdan selesa pilih gajet fungsi praktikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia hiburan yang sentiasa dipenuhi glamor dan teknologi terkini, golongan selebriti sering dikaitkan dengan arus trend digital dan gaya hidup serba mewah.

Sudut pandang itu bagaimanapun berbeza dengan pelakon Hariz Hamdan yang lebih bersifat praktikal dan menggunakan peranti untuk tujuan teknikal.

Bagi pemilik nama lengkap Muhammad Hariz Muhammad Hamdan peranti yang dimilikinya seperti telefon, komputer riba dan kamera kerap digunakan untuk urusan kerja.

“Saya bukanlah orang yang obses dengan gajet dan sentiasa mengikuti perkembangan peranti baharu, kerana saya hanya menggunakannya untuk tujuan kerja.

“Bagi saya telefon pintar, komputer riba dan kamera lebih tertumpu kepada urusan kerja. Kalau cakap mengenai kamera, dahulu ada banyak tetapi sekarang semuanya sudah dijual,” katanya kepada K-Tekno.

Pelakon filem Memoir Seorang Guru itu turut berkongsikan pekerjaan sebelum bergelar pelakon yang mungkin ramai tidak tahu.

Katanya, sebelum menyertai Hero Remaja 2020, Hariz merupakan seorang jurugambar dan juruvideo yang merakam momen indah di hari perkahwinan atau acara korporat.

“Dahulu saya memang ada banyak kamera tetapi selepas terlibat dengan kerjaya seni, saya memilih untuk menjual semua kamera yang ada.

“Lagi pun saya sudah lama memiliki kamera tersebut cuma jarang digunakan sebelum ini.

“Biarpun agak berbeza sedikit bidang kerjaya sebelum ini dengan sekarang, tetapi bagi saya minat terhadap visual itu membantu untuk lebih memahami tentang sudut kamera dan warna filem kerana saya sudah ada pengetahuan mengenai itu.

“Kalau pengarah tanya kanta (lens) apa yang dipakai, saya tahu kesan visualnya macam mana,” katanya.

Biarpun kamera yang pernah digunakan untuk tujuan fotografi telah dijual, namun Hariz masih menyimpan sebuah kamera kompak Canon PowerShot A50 untuk kegunaan sekarang.

Hariz turut berkongsi bahawa sebelum ini kebanyakan kamera miliknya berjenama Sony model 6000 dan Sony A7.

“Saya simpan kamera kompak ini kerana ia bersaiz kecil, ringan dan mudah untuk dibawa ke mana saja termasuk ke set penggambaran.

“Pada saya jika untuk merakam kandungan sosial media, guna kamera itu saja sudah memadai dan tidak perlu menggunakan kamera digital lensa tunggal reflex (DSLR) atau bersaiz besar,” katanya.

Sementara itu, Hariz turut mengakui dia bukanlah seorang penggemar permainan video tidak mengira sama ada bermain di telefon atau konsol seperti PlayStation.

“Orang mungkin fikir saya gemar menghabiskan masa dengan bermain permainan video tetapi sayangnya saya bukan orang sebegitu.

“Saya bukan kaki PlayStation, bukan juga jenis yang suka main game. Gajet ini saya guna untuk kerja, bukan untuk hiburan semata-mata,” ujarnya seraya tersenyum.

Namun begitu, Hariz sangat meminati audio siar di YouTube dan kerap menggunakan platform itu ketika sedang memandu.

Baginya, selain mendapat pengetahuan, mendengar audio siar lebih memberikan hiburan berbanding mendengar muzik.

“Setiap orang ada cara masing-masing, tetapi untuk saya mendengar audio siar itu lebih menghiburkan. Bukan saya kata muzik itu tidak menarik tetapi bagi saya mendengar audio siar ini sama seperti kita mendengar buku audio.

“Apa saja topik menarik saya akan dengar kerana kita boleh dapat belajar benda baharu, belajar menerima pandangan orang lain dan pada masa sama boleh membantu kita berfikir,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN