JASIN – Para guru diminta meninggalkan kerja-kerja yang tidak berkaitan dengan murid serta bukan profesional bagi memastikan inisiatif dilakukan kementerian dalam mengurangi bebanan golongan pendidik terlaksana.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, setakat ini beliau telah turut menangguhkan beberapa buah program peluncuran untuk dinilai semula kepentingan aktiviti berkenaan.
Ujarnya, para guru seharusnya memberikan tumpuan kepada Melindungi Masa Instruksional (MMI) untuk memastikan setiap murid menerima pendidikan terbaik termasuk akademi dan pembangunan sahsiah diri.
“Pengetua dan Guru Besar perlu berada di sekolah kerana kita perlukan peranan mereka ini untuk mengurangkan beban guru yang mungkin terkait dengan aktiviti-aktiviti tidak memberi impak.
“Guru-guru pula diminta memberi tumpuan pada MMI untuk pendidikan anak-anak, tak perlu pening-pening kepala mengenai perkara lain yang tidak profesional, tinggalkan atau batalkan sahaja,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga telah mengingatkan perkara sama di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk penyelarasan aktiviti dilakukan agar tidak berlakunya pertindanan program yang menyebabkan ramai guru melakukan tugas di luar sekolah.
“Jika tak buat penyelarasan, di jabatan ada program, di PPD pun buat acara sama dan akhirnya ramai guru keluar dari sekolah.
“Ini saya sudah tegaskan dan InsyaAllah, kita akan tengok di depan ini bagaimana inisiatif-inisiatif boleh dilaksanakan seperti diminta oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya guru kita sejahtera,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE