KUALA LUMPUR – Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) akan menggunakan dana hampir RM600,000 yang diperoleh melalui kutipan Kejohanan Golf Amal 2025 bagi memperkasakan perkhidmatan wakaf kesihatan dan kebajikan ummah.
Kejohanan itu berlangsung di Kelab Golf The Mines, Seri Kembangan Sabtu lalu.
KWAN dalam satu kenyataan berkata, penganjuran itu bertujuan meraikan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan Waqaf An-Nur Corporation Berhad sebagai inisiatif strategik bagi menyokong operasi lebih 20 rangkaian di bawahnya.
Katanya, ia juga sebagai merealisasikan slogan ‘membina waqaf, membela ummah’ yang menjadi hala tuju penubuhan Waqaf An-Nur.
“KPJ Healthcare Berhad muncul sebagai penaja utama berjumlah RM200,000 diikuti Johor Corporation dan Larkin Sentral Property Berhad, masing-masing RM50,000 selain penglibatan 10 buah syarikat lagi.
“Sebanyak RM588,877 dana berjaya dikumpulkan dan ia akan disalurkan kepada dana KWAN yang memfokuskan kepada pembiayaan rawatan dialisis untuk pesakit-pesakit kurang berkemampuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut KWAN, penganjuran kejohanan ini bukan sekadar platform pengumpulan dana, malah mencerminkan komitmen Waqaf An-Nur dalam pelaksanaan prinsip Environmental, Social & Governance.
Tambahnya, pada masa yang sama, ia memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara sektor korporat, agensi kerajaan dan komuniti serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan institusi wakaf sebagai pemacu kesejahteraan sosial dan kesihatan ummah.
“Selain itu kita juga telah melancarkan perkhidmatan Klinik Bergerak Waqaf An-Nur di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada 17 Jun lalu sebagai sebahagian daripada komitmen dalam memperluas akses perkhidmatan kesihatan berasaskan waqaf,” katanya.
Ujar KWAN, klinik itu beroperasi selama empat jam bermula pukul 8 malam setiap Rabu hingga Ahad di HSA untuk perkhidmatan kes ringan, pemberian ubat-ubatan asas serta pengeluaran sijil cuti sakit.