PETALING JAYA – Hanya kerana mahu mengutamakan gaya, seorang individu memilih untuk membeli kereta Honda City, biarpun gaji bulanan yang diterima sebaliknya lebih sesuai memiliki kereta Perodua Axia.
Akibat salah pemilihan kereta, individu itu kemudian tidak mampu dari segi kewangan sekali gus bayaran kereta Honda City yang dibelinya tertunggak selama tiga bulan.
Itu yang diceritakan pengguna Thread @jeeha15 berhubung seorang kakitangannya yang membeli kereta Honda City, setelah dia berkali-kali menasihatinya untuk memilih kereta Perodua Axia.
“Bila staf kau beli Honda city, awal tahun lepas. Aku ucapkan tahniah. Member sengih lebar weh. Lepas tu hari ini bank telefon aku cari dia. Sebab apa? Tunggakan tiga bulan dah. Sebelum ambil kereta aku dah cakap, ambil Axia.
“Ni tak nak, nak bergaya. Nak juga kejarkan H tu. Aku pun pakai Alza saja. Aduhai, budak sekarang. Bergaya dia nak, sudahnya sekali bank telefon, ‘kantoi’ dengan aku. Dah kena ceramah percuma,” katanya.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas termasuk ada yang menasihati kepada mereka yang mahu membeli kereta supaya ukur baju di badan sendiri.
“Susah org zaman sekarang. Bila kita nasihat kereta apa pakai, dia katanya tak payah sibuk urusan dia bagai. Tapi bila dah mcm ni baru nak menyesal,” komen seorang pengguna Thread.
“Tu lah, beli kereta tak tengok kemampuan. Ingat pakai kereta tak payah isi minyak? Servis?,” kata seorang lagi individu.
“Cita rasa masing-masing tak boleh nak halang. Tapi itu lah, tak ukur baju kat badan sendiri sibuk ukur saiz orang lain,” kata seorang lagi pengguna Thread. – KOSMO! ONLINE