MERSING – Seorang wanita maut manakala rakannya cedera selepas motosikal jenis Honda RSX yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang dalam kejadian kemalangan di Jalan Ismail berhampiran Taman Laut, di sini, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihak polis menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 12.05 pagi melibatkan dua buah kenderaan Honda RSX dan Hyundai Sonata.
Katanya, kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal dikenali sebagai Nur Afiqah Syahirah Mohd Dom, 24, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.
“Siasatan mendapati Hyundai Sonata dan motosikal datang dari arah yang sama. Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal cuba memotong Hyundai Sonata yang hendak membelok ke simpang kanan tetapi gagal dan telah melanggar bahagian hadapan kereta sebelum terbabas.
“Akibat kejadian itu penunggang wanita tersebut parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi. Rakannya seorang wanita berusia 23 tahun cedera di paha kiri dan masih dirawat di Hospital Mersing.
“Pemandu kereta seorang lelaki warga tempatan berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, ” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE