fbpx

‘Saya nasihat jangan seronok sangat, kawasan itu bahaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD Fauzi (kanan) bersama Norizawati menunggu proses bedah siasat anak sulung mereka, Zaim Ikhwan di HSAH, Sungai Petani hari ini.

SUNGAI PETANI – “Saya sempat menasihatkan anak supaya jangan seronok sangat kerana kawasan perkelahan itu agak berbahaya, tidak sangka dia lemas di situ.”

Demikian kata Norizawati Hamzah, 51, yang masih terkejut dengan pemergian anaknya, Zaim Ikhwan Mohd. Fauzi, 24, akibat lemas di kawasan Air Terjun Bukit Dinding, Sungai Badak di Gurun semalam.

“Selama ini dia sering terlibat dengan aktiviti lasak seperti mendaki bukit, tetapi saya tidak pernah menasihatinya sebegitu. Namun, pagi semalam sebelum dia keluar rumah, saya pesan agar dia berhati-hati.

“Selepas bersalaman dan memeluknya, saya tunggu di pintu sehingga kelibat anak hilang daripada pandangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini hari ini.

ANGGOTA bomba membawa turun mayat Zaim Ikhwan yang ditemukan lemas di kawasan Air Terjun Bukit Dinding, Sungai Badak, Gurun semalam.

Menurutnya, dia hampir pengsan selepas menerima panggilan telefon daripada rakan anaknya yang turut berkelah di lokasi sama, memaklumkan Zaim Ikhwan meninggal dunia akibat lemas pada pukul 3 petang semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Fauzi Mohd. Noor, 52, berkata, anaknya gemar melakukan aktiviti lasak seperti mendaki bukit selain aktif dalam sukan ragbi.

“Jika ada masa lapang dia akan menyertai aktiviti mendaki bersama rakan-rakannya. Kami kehilangan seorang anak yang baik dan mendengar kata, namun dalam masa sama reda dengan ketentuan Allah,” katanya yang merupakan pesawah.

Tambahnya, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Pisang, Sungai Dedap, Yan selepas selesai proses bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam, Zaim Ikhwan yang merupakan pelajar semester akhir pengajian Perbankan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), ditemukan lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya yang terkapai-kapai di kawasan air terjun itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI