SUNGAI BULOH – Barisan Nasional (BN) tidak akan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, malah akan mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti tersebut akan menggunakan logonya sendiri.
Katanya, kerjasama itu dilakukan bersama PH, bukan secara langsung dengan parti DAP.
“Yang marah kita dengan ‘UMDAP’ pasal apa? Kita ada perjanjian dengan DAP? Tidak pernah. Perjanjian kita saya kata antara BN dan PH yang di dalamnya ada DAP, tetapi DAP tidak pernah menentang kita.
“DAP tidak pernah menentang kita dalam Kongres Ekonomi Bumiputera, DAP tidak menentang dalam agenda Melayu dan Islam. Yang takut sangat kenapa, bukan saya hendak puji DAP, tidak. Sebab mereka bersetuju dengan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang kali ke-37 di sini hari ini.
Dalam ucapan sama, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mahu BN kekal sebagai gabungan politik dominan pada PRU-16.
“Kita mahu kekal dominan. Ia bukan sekadar di atas kertas, tetapi menerusi gerak kerja yang kita laksanakan secara konsisten dan tersusun.
“Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Maka strategi kita juga perlu menitikberatkan penyatuan dan keseimbangan antara kaum dan agama,” katanya.-KOSMO! ONLINE