JELI – Pertemuan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi membincangkan isu semasa dan penjelasan mengenai dasar-dasar kerajaan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pertemuan itu merupakan sebahagian daripada siri perjumpaan berkala yang sering diadakan antara kepimpinan kerajaan dan parti komponen.
Menurutnya, pertemuan sama turut diadakan bersama pimpinan parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan termasuk daripada Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Pertemuan Perdana Menteri bersama Ahli Parlimen BN dan Pengerusi-Pengerusi Perhubungan UMNO malam tadi sering kali diadakan bagi mengikuti perkembangan semasa memandangkan kita adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan.
“Pertemuan itu bukan bersifat khusus, sebaliknya membincangkan pelbagai perkara merangkumi dasar kerajaan, isu semasa dan cadangan yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen BN,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli 2025 di Kompleks UMNO Bahagian Jeli, Bukit Nangka di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE