LONDON – Peluang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) merupakan antara sebab utama pemain baharu Arsenal, Christian Norgaard mengambil keputusan meninggalkan Brentford dan menyertai The Gunners.
Pemain berusia 31 tahun itu mengakui, dia sedikit beremosi ketika diperkenalkan secara rasmi kerana impiannya untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Norgaard berkata, dia tidak sangka akan mendapat peluang seperti itu di kala usianya boleh dianggap sebagai pemain veteran selain mungkin hanya menunggu masa untuk mengumumkan persaraan.
“Mana-mana pemain pun akan rasa beremosi kerana ini adalah impian saya sejak dari kecil. Saya tidak sangka dapat merealisasikannya ketika sudah berada di penghujung karier sebagai pemain bola sepak.
“Memang benar ada keajaiban boleh terhasil sekiranya saya terus menyarung jersi Brentford. Bagaimanapun, mungkin agak tidak realistik untuk bermain di Liga Juara-Juara bersama mereka,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga sudah berhubung dengan penjaga gol, David Raya yang pernah menjadi rakan sepasukan di Brentford selain mendedahkan pemain Sepanyol itu memujuknya berhijrah ke Stadium Emirates.
“Dia (Raya) sentiasa bercakap positif mengenai pasukan selain memberitahu, rakan sepasukan sudah seperti satu keluarga. Saya gembira kerana bukan sahaja pemain bercakap seperti itu, malah staf pasukan juga,” ujar Norgaard. – AGENSI