LONDON – Tottenham Hotspur berjaya mendapatkan pemain sayap lincah, Mohammed Kudus dari West Ham United selepas kedua-dua kelab bersetuju dengan yuran perpindahan sekitar £55 juta (RM317.72 juta).
Bintang berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak enam tahun bersama Spurs meskipun memiliki klausa pelepasan bernilai £85 juta (RM491.02 juta) yang hanya boleh diaktifkan oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menariknya, Kudus menjadi pemain pertama West Ham menyertai Spurs dalam tempoh 14 tahun sejak kelab berkenaan membeli Scott Parker pada Ogos 2011.
West Ham bagaimanapun bersetuju melepaskan pemain antarabangsa Ghana itu pada nilai lebih rendah, sekali gus memberi laluan kepada pengendali baharu Spurs, Thomas Frank menjadikan Kudus sebagai pembelian utama musim panas ini.
“Rasa sangat hebat dapat berada di sini, saya benar-benar teruja dan tak sabar untuk bermula.
“Salah satu sebab utama saya datang adalah kerana projek kelab dan bagaimana pengurus melihat peranan saya. Dengan rekod pengendaliannya dan jumlah bakat yang dia bangunkan, saya yakin ini tempat terbaik untuk berkembang,” kata Kudus.
Kudus sebelum ini pernah dikaitkan dengan Chelsea, namun memilih untuk berhijrah menyertai Spurs selepas meledak 19 gol dan mencipta 13 bantuan jaringan dalam 80 aksi bersama The Hammers sejak 2023.
Terdahulu, Frank pernah menyuarakan minat mendapatkan Kudus sejak dia berada di Ajax, malah percaya kehadiran pemain serba boleh itu mampu memperkasa sistem 3-4-2-1 yang bakal diterapkan musim depan.
Frank kini hanya perlu memulakan musim baharu dengan tenang selepas melengkapkan perpindahan dua bintang yang bakal menjadi nadi utama pasukannya. – AGENSI