fbpx

Tular kemalangan babit motosikal polis, siasatan masih dijalankan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular berhubung kemalangan membabitkan motosikal milik PDRM dengan sebuah motosikal.

SUBANG JAYA – Polis sedang menjalankan siasatan kejadian kemalangan melibatkan motosikal berkuasa tinggi jenis BMW milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan sebuah motosikal di Subang Kelana Jaya-Link, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, insiden itu tular selepas satu rakaman video berdurasi 17 saat dimuat naik di laman Facebook “Dashcam Malaysia” kira-kira pukul 6.50 petang.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal BMW yang ditunggang anggota polis dari lorong kanan mengubah laluan ke lorong kiri sebelum bergesel dengan motosikal jenis Honda ADV ditunggang seorang lelaki berusia 20 tahun.

“Akibat pergeseran itu, mangsa telah terjatuh ke bahagian kiri jalan dan hanya mengalami sedikit luka pada tangan dan kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dakwaan dalam video tular kononnya anggota polis tersebut tidak berhenti di lokasi kejadian adalah tidak tepat.

“Semakan terhadap rakaman penuh mendapati penunggang motosikal BMW yang sedang menjalankan tugas rasmi telah berhenti kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian supaya tidak merbahayakan kenderaan lain.

“Malah, anggota terbabit bersama beberapa orang awam turut membantu mangsa sehingga mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam,” katanya.

Menurut Wan Azlan, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mendapatkan saksi bebas bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-301 2621,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI