PETALING JAYA – Tindakan berbahaya sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang memotong secara mengejut di kawasan titik buta (blind spot) sebuah lori mengundang kecaman netizen di media sosial.
Menerusi perkongsian Sis Nana di TikTok memaparkan rakaman papan pemuka (dashcam) lori tersebut menunjukkan kereta Myvi berwarna putih tersebut cuba untuk memasuki laluan lori secara mengejut sehingga nyaris menyebabkan kemalangan.
“Ini bukti awak (kereta Myvi) yang ‘pancung’ depan lori saya, bukan saya yang masuk laluan awak.
“Benda bukan soal tolak ansur ye, ini memang cari pasal. Nampak sangat memang cari pasal, dia sengaja pancung depan lori.
“Dalam rakaman memang tak nampak sebab papan pemuka duduk dekat cermin jadi dari dalam memang tak nampak sangat dia pancung tepi, takkan aku nak bawa lori melekat muka di cermin,” katanya pada ruangan kapsyen hantaran berkenaan.
Menerusi ruangan komen, rata-rata orang ramai menyokong pemandu lori tersebut dan menegaskan pentingnya memahami konsep titik buta (blind spot) kenderaan berat.
“Alahai malunya kalau kalau jadi Myvi itu. Kalau saya bagi sahaja lori itu lepas dahulu sebab menakutkan betul lori ini besar bukan kecil ye,” komen Asya.
“Saya kalau nampak nak kena berebut lori baik bagi laluan pada yang besar jalan dulu. Lori itu tinggi, tak nampak kita yang rendah ini, tapi manusia sekarang kebanyakannya tiada common sense (berfikiran logik),” kata Mamapapazara.
“Itu blind spot (titik buta) la weh takkan kau tak belajar. Kalau kena kau salahkan lori jugak,” balas Afida. -KOSMO! ONLINE