PERANTI kecergasan ini turut menyokong lebih 170 mod sukan termasuk larian, selaman bebas dan skuba sehingga kedalaman 45 meter.

K2

Jam pintar untuk gaya hidup aktif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIREKA dengan pesona elegan dan keupayaan tahan lasak, Amazfit Balance 2 merupakan jam pintar terkini yang menyokong gaya hidup aktif dan menjadi pilihan ideal untuk kecergasan harian.

Dibangunkan di bawah Zepp Health, Amazfit Balance 2 menggabungkan teknologi pemulihan dan penjejakan prestasi dalam satu platform khusus buat pengguna.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Zepp Health, Wayne Huang, Amazfit Balance 2 sesuai untuk pengguna memantau aktiviti kecergasan secara optimum dengan lebih efisien.

“Amazfit Balance 2 berfungsi bersama aplikasi Zepp Health yang dapat memberikan data lebih tepat dan pengguna akan mendapat maklumat yang lebih terperinci dalam menggunakan satu sistem yang mudah.

“Tanpa langganan tambahan, penjejakan yang tepat dan penyelarasan automatik sesuai untuk pengguna yang mengamalkan gaya hidup aktif seiring dengan amalan sihat,” katanya.

Tampil dengan reka bentuk bergaya, Amazfit Balance 2 hadir dengan skrin Amoled 1.5 inci yang diperkukuhkan dengan kaca kristal nilam tahan calar serta tahap kecerahan mencecah 2,000 nits.

Peranti kecergasan itu turut menyokong lebih 170 mod sukan termasuk larian, selaman bebas dan skuba sehingga kedalaman 45 meter menjadikannya pilihan ideal bagi peminat aktiviti darat dan laut.

Menarik mengenai peranti itu juga, mod perlumbaan Hyrox iaitu mod latihan intensif dengan struktur waktu selang, sesuai untuk peminat sukan kompetitif.

Di samping itu, data biometrik seperti kadar degupan jantung, kadar ukuran variasi masa antara setiap degupan jantung (HRV), tahap oksigen dalam darah dan skor kualiti tidur membantu pengguna memahami kesihatan diri dengan lebih mendalam.

Jenama peranti kecergasan itu turut mengangkat pelari kebangsaan bagi acara 800 meter, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari sebagai duta rasmi.

Penglibatan atlet berprestasi tinggi itu secara tidak langsung membuktikan komitmen jenama terbabit dalam membawakan teknologi yang bukan sahaja canggih tetapi praktikal dan diyakini golongan profesional.

“Reka bentuknya ringan dan selesa dipakai sepanjang hari. Penjejakan sistem posisi sejagat (GPS) dan data tidur yang terperinci benar-benar membantu saya merancang latihan dan pemulihan dengan lebih baik.

“Peranti ini membantu mengekalkan prestasi di tahap optimum dan saya tertarik untuk menggunakannya sejak pertama kali mencuba,” katanya.

Dalam pada itu penulis turut berpeluang merasai pengalaman menggunakan peranti pintar berkenaan yang dilengkapi dengan tali jam jenis silikon berkualiti tinggi.

Tali jam tersebut memberikan keselesaan saat memakainya terutama ketika melakukan aktiviti fizikal seperti berlari, berbasikal mahupun denai kembara.

Variasi pilihan paparan muka jam membolehkan pengguna menentukan gaya reka bentuk visual bersesuaian dengan aktiviti dan gaya tersendiri.

Di samping itu, saiz skrin yang besar juga membolehkan notifikasi atau kiriman mesej dibaca dengan lebih jelas.

Amazfit Balance 2 dijual secara rasmi di seluruh Malaysia dengan harga runcit RM1,299, manakala pelanggan yang membuat pembelian awal akan menerima kipas klip pinggang dan beg tali Amazfit secara percuma, selagi stok masih ada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN