fbpx

ASEAN mesti kekal bersatu – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – ASEAN mesti kekal bersatu dan berdaya tahan di tengah-tengah ketidakstabilan global yang semakin meningkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ASEAN mesti kekal sebagai sauh utama rantau ini bagi dialog dan kerjasama.

Tegas beliau, ASEAN malah telah mengekalkan keamanan dan memperluaskan kemakmuran dengan cara yang jarang ditandingi rantau lain.

“Kita berjaya melakukannya dengan memupuk tabiat bekerjasama, kesediaan untuk terus berunding walaupun sejarah silam sukar dan masa kini mencabar.

“Kekuatan rantau kita bukan terletak pada ketiadaan ketegangan, tetapi pada komitmen untuk menguruskannya melalui saling menghormati, dialog berterusan dan usaha mencari kata sepakat.

“Itulah cara ASEAN dan ia mesti kekal sebagai panduan kita,” katanya semasa menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di ibu negara hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, tatanan global semakin rapuh menyaksikan konflik, paksaan, ketidakpercayaan hubungan dan banyak nyawa telah hilang.

Ujar beliau, Gaza dan Palestin menyaksikan penderitaan berterusan seluruh rakyatnya yang dinafikan maruah dan keadilan sejak turun-temurun.

Tambah beliau, perang di Ukraine masih berlarutan dan keganasan di beberapa bahagian Afrika terus menyebabkan kemusnahan, manakala keamanan di Myanmar masih sukar dicapai.

“Kita juga amat bimbang dengan ketegangan yang memuncak di Timur Tengah. Risikonya sangat besar terhadap keselamatan tenaga, kestabilan global dan integriti undang-undang antarabangsa,” katanya.

Justeru, kata Anwar, ASEAN mesti menjadi antara pihak yang memilih untuk mempertahankan peraturan walaupun ada yang memilih untuk berundur daripadanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI