JAKARTA – Seorang kanak-kanak lelaki tular selepas mendedahkan bahawa dia mula menabung untuk berkahwin dengan pasangan pilihannya pada masa hadapan, lapor portal berita Karawang INews semalam.
Kanak-kanak itu merupakan seorang pelajar sekolah rendah di Indonesia.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram memaparkan budak itu menceritakan pengalamannya bertemu dengan seorang lelaki dewasa yang masih belum berkahwin.
“Semalam (baru-baru ini) saya bertanya kepada lelaki itu mengapa dia belum berkahwin. Dia menjawab bahawa kos kahwin mahal.
“Saya menabung untuk modal kahwin supaya saya tidak penat mencari duit. Kalau perbelanjaan sekolah, itu tugas ibu,” kata kanak-kanak itu kepada ibunya.
Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Fikiran dia hebat untuk 20 tahun kedepan,” kata seorang netizen.
“Calon suami yang akan ‘meratukan’ isterinya,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI